ARKIB : 30/01/2008
KUALA LUMPUR Kedah
mengukuhkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas mencatat
kemenangan bergaya 3-2 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan,
semalam.
Bagaimanapun, dua pencabar
terdekat, Selangor dan Negeri Sembilan Naza terus memberi tekanan dengan turut
memenangi perlawanan masing-masing untuk mengekori dengan lima mata di
belakang.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Safee Sali meraikan hari jadinya yang ke-24 malam tadi dengan menyumbangkan dua
gol untuk membantu Selangor menewaskan UPB-MyTeam 2-0 di Stadium MBPJ, Petaling
Jaya.
Negeri Sembilan Naza turut
menagih sentuhan pemain kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak yang turut
menyumbangkan dua gol ketika tuan rumah mengalahkan Polis 3-2 di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi.
Namun begitu, tumpuan semalam
pastinya kepada penyandang juara, Kedah yang kukuh mendahului liga dengan
mengumpul 28 mata selepas membuka jaringan menerusi pemain import, Nelson
Marcello Martin seawal minit ketiga.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya
menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd. Farizal Rozali pada minit ke-50, namun
kealpaan pertahanan mereka membenarkan Kedah kembali di depan menerusi K.
Saramsak pada minit ke-61.
Farizal menghidupkan kembali
peluang Pulau Pinang dengan menjaringkan gol penyamaan buat kali kedua di minit
ke-68, namun sekali lagi aksi goyah benteng tuan rumah membolehkan Kedah meraih
gol kemenangan menerusi Badrol Bakhtiar di minit ke-76.
Dalam satu lagi perlawanan,
Sarawak akhirnya keluar dari kedudukan tercorot liga selepas mencatat
kemenangan 2-1 ke atas Perlis di Stadium Sarawak.
Tindakan Persatuan Bolasepak
Sarawak (FAS) menurunkan separuh harga tiket berjaya menarik 15,000 penonton ke
stadium, kehadiran terbesar yang sekali gus menaikkan semangat pemain tuan
rumah.
Begitu pun, pasukan pelawat
Perlis terlebih dulu mengejutkan Sarawak dengan membuka jaringan menerusi bekas
pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof pada minit ke-29, namun Zamri Morshidi
tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-30, sebelum
Joseph Kalang Tie muncul wira dengan menyumbat gol kemenangan pada minit ke-69
Di Ipoh, Perak kekal di tangga
keempat liga selepas menundukkan Terenggang 2-0 di Stadium Perak.
Kedua-dua jaringan tuan rumah
diperoleh menerusi pemain import, Carlos Caceres pada minit ke-50 dan gol minit
terakhir daripada Daniel Fadzli Abdullah.
Di Stadium JCorp, Johor FC
terus menambah sengsara Pahang apabila menundukkan pasukan itu 1-0 hasil
jaringan tunggal Andreas Fuentes Gustavo pada minit ke-42.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wibZ9EJL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan