Jumaat, 13 Oktober 2017

Alex James bantu Kedah belasah Melaka



ARKIB : 10/08/2007
Oleh SHARIZA ABDULLAH
 
PEMAIN-pemain Kedah meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.

ALOR STAR – Juara berganda, Kedah mencerahkan laluan ke separuh akhir Piala Malaysia apabila memperoleh bekalan selesa dengan membelasah Melaka 6-1 pada pusingan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, semalam.

Penjaring terbanyak Kedah, Marlon Alex James menjadi duri dalam daging kepada pasukan pelawat apabila menyumbat lima gol pada minit ke-26, 42, 55, 62 dan 87 manakala satu lagi gol skuad Hijau Kuning dijaringkan oleh Shafiq Jamal pada minit ke-58.

Anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah jelas kelihatan amat berselera untuk memburu gol bagi merealisasikan impian meraih tiga kejuaraan semusim dengan melancarkan serangan bertali arus sejak wisel permainan ditiupkan.

Alex James membuka jaringan bagi tuan rumah pada minit ke-26 selepas melepasi perangkap offside dan mudah memperdayakan penjaga gol Melaka, V. Murugan.

Ketiadaan perancang tengah Hijau Kuning, Nelson Sam Martin yang terpaksa dikeluarkan selepas 15 minit permainan berlangsung tidak merencatkan persembahan Kedah yang terus menyusun gerakan berbahaya ke kubu Melaka.

Hasilnya tiga minit sebelum permainan separuh masa pertama berakhir, Alex James sekali lagi pantas menyambar peluang dengan menolak bola ke dalam gawang lawan selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol pelawat.

Kedah terus menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan Alex James menyumbat gol ketiga tuan rumah pada minit ke-55 sebelum Shafiq menjadikan kedudukan 4-0 tiga minit selepas itu.

Alex James menyumbat gol kelima bagi Kedah pada minit ke-62 sebelum menjaringkan gol kelima peribadi dan keenam Sang Kenari tiga minit sebelum perlawanan berakhir.

Pelawat bagaimanapun berjaya memperoleh satu gol menerusi Shaharen Abdullah pada minit ke-78 sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik pusingan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat Rabu ini.

Sementara itu, sebaik sahaja perlawanan berakhir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyampaikan trofi kemenangan Liga Super kepada skuad Kedah di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setianya yang membanjiri stadium.

Kedah mengesahkan gelaran Liga Super selepas menang tipis ke atas Brunei DPMM di stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada 4 Ogos lalu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vNnU7m2k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan