ARKIB : 06/08/2007
Oleh SHARIZA ABDULLAH
ALOR STAR Kedah yang baru
dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super kini mengidamkan trofi Piala
Malaysia bagi melengkapkan musim cemerlang Sang Kenari dengan merangkul tiga
kejuaraan semusim.
Justeru, para pemain Kedah
diminta melupakan seketika kegembiraan merangkul gelaran Liga Super kelmarin
dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan suku akhir Piala Malaysia
menentang Melaka di Stadium Darul Aman, Khamis ini.
Ketua jurulatih bola sepak
Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, dia telah mengarahkan semua pemain
skuad Hijau Kuning supaya turun ke padang menjalani latihan hari ini.
Katanya, ini bagi membolehkan
persiapan rapi dilakukan menjelang sepak mula suku akhir pertama nanti.
Sememangnya kemenangan
merangkul gelaran juara Liga Super amat bermakna kepada Kedah. Namun, kita
masih bersaing untuk merebut satu lagi trofi iaitu Piala Malaysia.
Oleh itu, buat masa ini para
pemain perlu fokus kepada perlawanan suku akhir di gelanggang sendiri Khamis
ini dengan turun berlatih seperti biasa. Kita mahu mencari bekalan selesa
sebelum bertandang ke Melaka pada 15 Ogos ini, katanya ketika ditemui selepas
tiba bersama skuad Kedah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas
di sini, semalam.
Kira-kira 100 peminat dan
penyokong pasukan Hijau Kuning menyambut ketibaan wira-wira mereka itu dari
Brunei.
Kedah merangkul gelaran Liga
Super selepas menang tipis ke atas Brunei DPMM di Stadium Hassanal Bolkiah,
Bandar Seri Begawan kelmarin. Sebelum ini Sang Kenari memenangi Piala FA
selepas menyingkirkan Perlis 4-2 menerusi penentuan penalti pada 30 Jun lalu.
Mohd. Azraai berkata, moral
pemain-pemainnya kini cukup tinggi untuk meraih satu lagi trofi dan berdasarkan
suasana semasa dalam kem Kedah, dia yakin misi untuk menambah koleksi kejuaraan
boleh dicapai.
Apa yang penting pemain kena
kekalkan disiplin, komitmen dan persembahan terbaik mereka. Jika ini dapat
dilakukan, insya-Allah kita mampu merangkul tiga kejuaraan musim ini, katanya.
Dalam pada itu, mengulas
mengenai perlawanan malam tadi, dia berkata, para pemain Hijau Kuning telah
memperagakan karakter sebagai juara apabila berjaya menyerap tekanan tatkala
pasukan amat memerlukan kemenangan.
Sementara itu, pengurus pasukan
Kedah, Datuk Othman Aziz memberitahu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)
yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah bersetuju
menghadiahkan 20 peratus atau sejumlah RM100,000 daripada hadiah kemenangan
Liga Super kepada pemain-pemain dan para jurulatih pasukan berkenaan.
Kata beliau, pengumuman
mengenai perkara itu dibuat sejurus sebelum perlawanan menentang Brunei,
kelmarin sebagai satu suntikan semangat kepada para pemain untuk menunjukkan
persembahan terbaik bagi memenangi perlawanan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vCWw1jUq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan