ARKIB : 02/08/2007
KUALA LUMPUR - Kedah berpesta
gol sambil merampas takhta Liga Super daripada Perak selepas menewaskan Negeri
Sembilan 7-0 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.
Selepas saingan liga berehat
panjang kerana berlangsungnya Piala Asia, Kedah menyambung aksi seperti Sang
Kenari lapar apabila dengan lahap membaham pasukan pelawat sebagai mangsa
belasahan.
Paling menyedihkan sudah pasti
penjaga gol Negeri Sembilan, Azizon Abd. Kadir yang belum pun reda berdepan
igauan dibocori 12 gol di Piala Asia, menghadapi lagi hujan gol yang lebih
memalukan.
Penyerang import Kedah, Marlon
Alex James melakukan hatrik dengan menjaringkan gol pada minit ke-14, 41 dan
72.
Manakala baki empat lagi gol
dijaringkan Hasmawi Hassan (m-6), Nelson Sam Martin (m-29, 45) dan K. Soley
(m-44).
Kemenangan itu membolehkan Kedah
kini memungut 52 mata daripada 23 perlawanan untuk memintas Perak yang hanya
mampu seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.
Perak yang mungkin masih
terkejut kerana bakal kehilangan presiden mereka, Datuk Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun
membuka jaringan lebih dulu menerusi Keita Mandjou pada minit ke-23.
Tetapi Terengganu berjaya
menyamakan kedudukan menerusi pemain import baru mereka, Abdullahi Nasiru pada
minit ke-52.
Turut berpesta gol malam tadi
adalah Perlis yang menewaskan Melaka 6-0 di Stadium Utama, Kangar.
Gol-gol Perlis disumbang
Shahriman Che Omar (m-18), hatrik Azlan Ismail (m-54, 60, 63), Phillimon
Chipeta (m-65) dan Zacharia Simokonda (m-87).
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila
tumpas 1-3 kepada Brunei.
Tuan rumah bagaimanapun
mendahului lebih awal menerusi penalti A.V Jaganathan (m-26) tetapi Brunei
bangkit dengan tiga gol menerusi Rosmin Kamis (m-35) dan Shahrazen Said (m-38,
46).
Lain-lain keputusan, Selangor
menang 3-1 ke atas Telekom Melaka di Stadium Shah Alam manakala Johor FC
menewaskan Sarawak juga dengan jumlah jaringan yang sama di Stadium Pasir
Gudang
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ukBLKiA5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan