Isnin, 23 Oktober 2017

Kedah kekal pendahulu



MARTIN (kiri) bersaing dengan pemain Sarawak, Sailfoulaye Cemara pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.

JUARA bertahan, Kedah mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sarawak pada aksi di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.

Turun selaku tuan rumah, Kedah berjaya menguasai permainan pada babak pertama dan mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan Mohd. Sabree Abu.

Sarawak yang hanya meraih dua kemenangan setakat ini cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan, namun dihalang kekebalan benteng pertahanan skuad Kenari itu.

Sebaliknya Kedah yang dipimpin jurulatih Azraai Khor Abdullah berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-12, juga menerusi jaringan Sabree.

Sabree yang tidak dikawal ketat pertahanan Sarawak bijak menggunakan peluang untuk menyempurnakan hantaran Victor Andrag hasil daripada sepakan sudut Nelson Sam Martin.

Di Shah Alam, tuan rumah Selangor terus memberi saingan dalam perebutan gelaran juara musim ini apabila mencatat kemenangan keenam selepas membenam Brunei DPMM 2-1.

Skuad Red Giants yang mendapat sorakan hampir 5,000 penyokong setianya membuka jaringan melalui penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali pada minit ke-20 sebelum Brunei menyamakan kedudukan menerusi penyerang importnya, Tiago Dos Santos pada minit ke-32.

Frank Seator bagaimanapun muncul wira Selangor apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-73 hasil daripada sepakan penalti.

Di Kuantan, skuad Negeri Sembilan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat tuan rumah, Pahang dengan keputusan 2-2 pada aksi di Stadium Darul Makmur.

Pahang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Redouane Barkaoui pada minit ke-58 sebelum Christiano Lopez Figuerredo menambah gol kedua enam minit kemudian.

Negeri Sembilan bagaimanapun bangkit untuk merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi Efendi Abd. Malek sebelum Lamin Conteh menyamakan kedudukan pada minit ke-78.

Di Kangar, Perlis menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan menewaskan Johor FC 3-1 di Stadium Utama.

Tiga gol Singa Utara masing-masing diperoleh menerusi jaringan Phillimon Chipeta pada minit ke-34 dan 63 serta K. Soley pada minit ke-81.



SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4wNIP5n00
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan