ARKIB : 30/12/2007
PENYERANG Kedah, Marlon Alex
James (kanan) diasak pemain Selangor, Evan Chisulo (dua dari kanan) pada
perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi.
Kedah menang 6-2.
KUALA LUMPUR Jerat yang
dipasang Kedah membawa hasil lumayan apabila berjaya membelasah Selangor 6-2
sekaligus merampas takhta liga daripada pasukan Lembah Klang itu dalam saingan
Liga Super, semalam.
Kemenangan besar itu meletakkan
skuad Kenari kini mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan, sama dengan Terengganu
dan Selangor tetapi dipisahkan menerusi perbezaan jumlah jaringan.
Ini merupakan kemenangan besar
kedua Kedah selepas kejayaan menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada
18 Disember lalu.
Pada perlawanan di Stadium
Darul Aman yang rancak dan menarik semalam, Kedah mengotakan janji untuk
menjadikan Selangor mangsa belasahan dan kebangkitan apabila mengasak hebat
kubu lawan mereka.
Marlon Alex James melakukan
hatrik apabila menjaringkan gol pada minit ke-17, 35 dan 88 manakala tiga lagi
gol Kedah dijaringkan Kyril Muhymeen (m-13), Badrul Bakhtiar (m-48) dan Hasmawi
Hassan (m-83).
Selangor yang cuba mengimbangi
corak permainan menyerang Kedah hanya mampu membalas dua gol menerusi dua
pemain importnya, Frank Seator (pen-24) dan Evans Thisulo (m-38).
Di Stadium Utama Negeri,
Kangar, Perlis gagal menyekat kebangkitan Terengganu yang semakin garang
apabila tumpas 0-1 di laman sendiri.
Terengganu yang masih segar
dengan kejayaan menewaskan Kedah 3-1 Ahad lalu jelas mempamerkan peningkatan
mendadak sejak kebelakangan ini dengan mudah membolosi kubu tuan rumah seawal
minit ke-5.
Pemain import mereka dari
Brazil, Dleisson Freire mencipta jaringan cantik dengan melakukan sepakan kaki
kiri dari luar kotak penalti untuk menggegar jaring.
Kejayaan Kedah dan Terengganu
itu sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama musim ini kepada Selangor dan
Perlis.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Pahang mencipta kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini dengan
menewaskan PDRM 1-0.
Terima kasih kepada gol sendiri
pemain PDRM, Mazwandi Zakaria pada minit ke-23 yang tertanduk masuk bola ketika
cuba mengeluarkan hantaran lintang pemain Pahang dalam kotak penalti.
Di Stadium Sarawak, Kuching
pula, tuan rumah turut berpesta gol dengan menewaskan UPB-MyTeam 4-1 untuk
mencipta kemenangan pertama mereka musim ini daripada lima perlawanan.
Joseph Kallang menjaringkan dua
gol buat Sarawak pada minit ke-22 dan 34 manakala dua lagi gol disumbang M.
Saravanan (m-32) dan Safri Amid (m-73).
Gol sagu hati yang diperoleh
UPB-MyTeam pula dijaringkan Mijo Dadic pada minit ke-20.
Di Stadium Pasir Gudang, Johor
FC menambah derita Perak yang semakin terperosok ke dasar liga apabila mencatat
kemenangan selesa 2-0.
Gol-gol Johor FC dijaringkan
Gustavo Fuentes (m-16) dan Ezaidy Khadar (m-44).
Di Stadium Bandaraya, tuan
rumah, Pulau Pinang hanya sekadar mampu seri 1-1 dengan DPMM Brunei.
Pasukan pelawat lebih dulu
membuka jaringan menerusi Azwan Salleh pada minit ke-46 sebelum Pulau Pinang
bernasib baik dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Azrol Ahmad pada
minit ke-71.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w3y4rq3h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan