Isnin, 23 Oktober 2017

Kedah tanpa Marlon


 


 MARLON (kiri) tidak akan beraksi pada perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini selepas digantung satu perlawanan.

 KEDAH terpaksa melupakan khidmat penyerang berbisa, Marlon Alex James pada perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini.

Marlon menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, ketiadaan Marlon memaksanya melakukan sedikit rombakan di bahagian serangan dan yang pasti tetap menyengat.

"Saya telah mengenal pasti pemain yang akan menggantikan Marlon pada perlawanan itu nanti," kata Azraai di Alor Star semalam.

Katanya lagi, Saramsak Kram mungkin akan diberi peluang untuk bergandingan dengan Hasmawi Hassan pada perlawanan itu kelak.

Tambah Azraai, jika mahu mencatat kemenangan pada perlawanan itu nanti, ia bukan terletak pada barisan penyerang sahaja, tetapi semangat juang yang ada pada setiap pemain Kedah akan menjadi penentu.

"Saya berharap mereka (pemain) dapat mengekalkan rentak permainan cemerlang seperti yang telah dibuktikan sebelum ini bagi memastikan sasaran untuk meraih 28 mata pada pusingan pertama Liga Super ini dapat dicapai," katanya.

Menurutnya, walaupun Pulau Pinang berada pada kedudukan tercorot liga, tetapi pemain perlu bersedia dan tidak memandang rendah keupayaan lawan.

Jelasnya, kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti perlu berupaya memberi tekanan kepada pihak lawan yang mempunyai berkelebihan beraksi di tempat sendiri.

"Saya berharap pemain Kedah akan memberikan yang terbaik pada perlawanan terakhir bagi pusingan pertama Liga Super ini untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu liga."

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4wNSvQ0bl
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan