Isnin, 16 Oktober 2017

Kedah ikat Ronny, Zairol



ARKIB : 11/10/2007

Oleh Rosmawati Mion

ALOR STAR – Pemain pertahanan Pahang, Ronny Harun merupakan antara bintang baru yang berjaya dipikat oleh Kedah bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain Ronny, Kedah juga berjaya memikat bekas pemain Kelantan, Zairol Fitri Ishak.

‘‘Kedua-duanya bersetuju bermain untuk pasukan Kenari bagi musim 2007/2008 selepas ditawarkan tempat oleh pihak pengurusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian ganjaran kemenangan kepada pemain-pemain Kedah yang berjaya menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA musim lalu, di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Mahdzir berkata, KFA turut mengekalkan kapten pasukan, Victor Andrag yang telah menyatakan persetujuannya untuk terus bersama Kenari.

‘‘Kesemua mereka dijangka menandatangani kontrak selepas Hari Raya Aidilfitri setelah mereka bersetuju dengan tawaran-tawaran termasuk kenaikan gaji pada musim akan datang,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, pemain-pemain Kedah dan jurulatih serta pegawai-pegawai menerima ganjaran yang keseluruhannya berjumlah RM400,000 di atas kemenangan pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA untuk musim lalu.

Imbuhan tersebut merupakan bonus yang dijanjikan oleh KFA selepas hasrat untuk membawa pasukan melawat ke Eropah dibatalkan ekoran kesuntukan masa dan juga beberapa pemain Kedah yang dipilih mewakili negara ke Sukan Sea di Korat Disember ini.

Bagaimanapun jumlah imbuhan yang diterima oleh setiap pemain berbeza-beza berdasarkan status pemain iaitu antara RM10,000 hingga RM15,000 berdasarkan pada status pemain dan jumlah permainan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vjQHb0BW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan