Sabtu, 14 Oktober 2017

Kedah, Perak bawa bekalan selesa



ARKIB : 02/09/2007
Oleh: IRMAN HASHIM
K. Nanthakumar (dua dari kanan) merembat bola di depan pintu gol Sabah dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tawau, Sabah, malam tadi. – Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.

KUALA TERENGGANU – Kedah berjaya mengikat tuan rumah Terengganu daripada mencari mata kemenangan apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Keputusan seri itu bagaimanapun memihak kepada Kedah yang akan mengulangi pertemuan kedua di gelanggang sendiri, Selasa ini.

Selesa dengan keputusan seri seperti yang dimahukan, Kedah mengekalkan formasi 4-4-2 yang ternyata berjaya mengekang asakan jentera serangan tuan rumah.

Kedah selaku juara Piala FA dan Liga Super turun dengan misi melengkapkan musim cemerlang pasukan itu untuk merangkul tiga piala dalam satu musim.

Kedua-dua pasukan yang saling berbalas asakan gagal mencari gol pembukaan sehingga tamat tempoh 90 minit permainan.

Permulaan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan cuba menguji pertahanan masing-masing dengan asakan-asakan seimbang.

Bagaimanapun, Kedah memulakan cubaan gol pertama seawal minit ke-10 dengan rembatan kencang V. Thirumurugan dari pintu kiri gol tuan rumah, namun sepakannya tersasar.

Thirumurugan sekali lagi memperoleh peluang dengan melakukan cubaan kedua ke gawang Terengganu dengan rembatan leret enam minit kemudian, namun berjaya dihalang oleh penjaga gol, Suhardi Alby.

Tuan rumah yang tidak alpa dengan asakan pelawat bangkit dengan membuat percubaan berbahaya pada minit ke-23 daripada empat kali sepakan sudut ke gawang lawan.

Berikutan jentera serangan yang tumpul, jurulatih pasukan Penyu, Yunus Alif membuat pertukaran pada minit ke-44 dengan memasukkan Che Hishamuddin Hassan menggantikan Nasrul Abdulwahi.

Keputusan terikat dengan kedudukan 0-0 sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua turut menyaksikan permainan semakin rancak tetapi sikap berhati-hati pemain yang gemar berkampung di benteng pertahanan menyukarkan kedua-dua pasukan mencari gol.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vYMZAEtG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan