ARKIB : 08/09/2007
ALOR STAR Bekas ketua pasukan
Kedah, Muhamad Radhi Mat Din menasihati skuad Kenari agar tidak terlalu emosi
apabila menentang Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Katanya, lebih separuh
pemain-pemain mereka tidak pernah beraksi pada perlawanan akhir piala
berprestij itu kerana kebanyakan pemainnya berusia dalam lingkungan awal 20an.
Saya menasihatkan
pemain-pemain Hijau Kuning supaya tidak terbawa-bawa dengan suasana perlawanan
akhir yang dikhuatiri boleh menjejaskan mutu persembahan, katanya yang pernah
enam kali beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia.
Muhamad Radhi merupakan tonggak
Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang disertai oleh pasukan itu pada
1987, 1988, 1989, 1990 dan 1991 dan 1993.
Dia yang kini menjadi penolong
jurulatih skuad Sang Kenari menjulang piala tersebut sebagai kapten pada 1993.
Muhamad Radhi memberitahu,
memang tidak dapat dinafikan pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir akan
mudah terbawa-bawa dengan suasana permainan berkenaan.
Katanya, pada pentas itulah
para pemain ingin menonjolkan segala kemampuan.
Keadaan itu, katanya, meskipun
mempunyai kelebihan tetapi kadang-kala mendatangkan keburukan kepada pasukan
kerana mereka boleh kehilangan sentuhan sebenar kerana terlalu cuba untuk
menonjol.
Dalam suasana ini, apa yang
penting ialah memberi persembahan terbaik, ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vZHFdSQf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan