ARKIB : 06/01/2008
TONGGAK pasukan Polis, Azlan
Ismail (tiga dari kanan) diasak oleh penjaga gol Terengganu, Md Sabinee pada perlawanan
bola sepak Liga Super di Stadium Selayang, malam tadi. Polis menang 4-2.
KUALA LUMPUR Terengganu
melepaskan kedudukan pendahulu liga selepas tumpas 4-2 kepada Polis dalam
perlawanan bola sepak Liga Super yang menyaksikan skuad Penyu terpaksa menamatkan
permainan dengan 10 pemain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Polis mendahului saingan pada
minit ke-27 menerusi Azlan Ismail, sebelum penyerang import, Hillary Echesa
melebarkan kedudukan kepada 3-0 dengan menambah dua lagi gol pada minit 38 dan
48.
Ketinggalan 3-0 tidak
mematahkan semangat Terengganu untuk mencari jaringan apabila penyerang import,
Gleisson Freire merapatkan kedudukan 3-1 pada minit 62.
Malangnya, tidak sampai seminit
selepas itu, dia dibuang padang selepas dilayangkan kad merah, namun Terengganu
masih berjaya menjaringkan gol kedua pada minit 84 menerusi Md. Ashaari
Shamsuddin untuk kedudukan 3-2.
Ketika saingan tinggal beberapa
saat untuk ditamatkan, Ahmad Latiff Kamaruddin mengesahkan kemenangan 4-2 Polis
dengan menyumbat gol keempat.
Penyandang juara, Kedah
merampas kembali kedudukan pendahulu selepas membenam UPB-MyTeam 2-0 di Stadium
Darul Aman.
Kedua-dua gol Kedah dijaringkan
penyerangnya Marlon Alex James minit ke-15.
Pada separuh masa kedua,
kedua-dua pasukan saling mengasak, namun pada minit ke-79 James menghidu
peluang gol yang ada untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Di Stadium Darul Makmur,
Selangor bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila menumpaskan
Pahang 3-1 untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Pelawat membuka tirai jaringan
pada minit ke-24 apabila lorongan cantik Mohd. Safee Sali ke dalam kotak
penalti berjaya ditolak masuk pemain import, Frank Seator.
Selangor melebarkan kedudukan
2-0 di minit ke-28, kali ini giliran Indra Putra Mahayuddin pula menjaringkan
gol menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah,
Mohd. Syamsuri Mustaffa.
Separuh masa kedua menyaksikan
skuad Tok Gajah merapatkan jurang di minit ke-55 menerusi Zainuddin Ariffin,
namun pasukan Merah Kuning menyumbat gol ketiga menerusi R. Surendran pada
minit ke-84.
Negeri Sembilan turut mencatat
kemenangan apabila menundukkan Sarawak 3-2 di Stadium Sarawak, semalam.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Zaquan Adha Abdul Razak muncul wira Negeri Sembilan apabila menjaringkan dua
gol, termasuk gol kemenangan pada minit ke-85.
Tuan rumah mensia-siakan
kelebihan mendahului 2-1 pada separuh masa pertama selepas memperoleh jaringan
seawal minit pertama menerusi Mohd. Shahrol Sapari, diikuti jaringan Sylla
Mansa, minit ke-41.
Selepas ketinggalan 1-0, Zaquan
menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-21 dan A. Kunalan menjadikan saingan
seimbang, hanya tiga minit selepas babak kedua bermula dengan menyumbat gol
kedua pada minit 48.
Dalam satu lagi perlawanan,
Perlis gagal menggunakan kelebihan di tempat sendiri apabila seri 1-1 dengan
Brunei DPMM di Stadium Utama, Kangar.
Pasukan pelawat terlebih dulu
membuka jaringan menerusi penyerang import, Ashfaq Ali minit ke-45 selepas
menewaskan pemain pertahanan Perlis, Abdul Aziz Ismail.
Ketika percubaan berbahaya
Phillimon Chipeta, Rudie Ramli dan Kabwe Kamuzati menemui kegagalan, pemain
gantian Mohd. Fauzi Nan menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat perlawanan.
Di Stadium Batu Kawan, Pulau
Pinang mengalami kekalahan keempatnya musim ini selepas tumpas 0-2 kepada
Perak.
Perak nyata lebih mantap dengan
membuka jaringan menerusi bintang penyerangnya, Khalid Jamlus pada minit 45.
Kesilapan pertahanan Pulau
Pinang, Mohd. Hafiz Abdul Rahman pada minit ke-68 membawa padah apabila dia
menjatuhkan Carlos Artura Caceras dalam kotak penalti untuk menghadiahkan
sepakan penalti kepada lawan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w7HtNJy2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan