Sabtu, 14 Oktober 2017

Kenari intai keputusan seri



ARKIB : 28/08/2007 
Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengingatkan anak buahnya supaya sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri berdepan Terengganu menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu ini.

Jurulatih yang membawa skuad Sang Kenari muncul juara Piala FA dan Liga Super itu berkata, dalam saingan peringkat tersebut, keputusan seri adalah memadai kerana bakal beraksi di gelanggang lawan sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Darul Aman tiga hari selepas itu.

Malah kata Mohd. Azraai, anak buahnya perlu lebih berhati-hati beraksi di gelanggang ‘keramat’ pasukan dari Pantai Timur itu memandangkan Kedah pernah tewas di situ dalam perlawanan awal musim Liga Super .

Justeru katanya, para pemain Kedah tidak boleh hilang fokus dan perlu memberi persembahan terbaik mereka pada pertemuan itu jika tidak mahu sejarah kekalahan tersebut berulang sekali gus menyukarkan peluang Hijau Kuning mencipta kejayaan hatrik musim ini.

‘‘Terengganu merupakan salah sebuah pasukan yang menonjol pada musim ini dengan mempunyai kekuatan seimbang di semua posisi. Pasukan itu juga seperti Kedah yang banyak membariskan bakat-bakat muda dalam kesebelasannya.

‘‘Suasana perlawanan separuh akhir juga pasti berbeza dan kita tidak boleh pulang dengan tangan kosong jika mahu terus mara ke perlawanan akhir.”

Oleh itu keputusan seri sudah cukup kerana selepas itu, kita akan beraksi di gelanggang sendiri pula yang memberi kelebihan kepada Kedah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Azraai berkata, sebagai persiapan Hijau Kuning menjelang pertemuan itu, anak buahnya diberi latihan fizikal dan mental sejak dua minggu lalu bagi memastikan mereka bersedia dari semua aspek untuk memburu kejuaraan piala berprestij itu.

Para pemain Kedah, katanya, bukan sahaja mengadakan latihan biasa di padang tetapi turut menjalani latihan di pantai dan dibawa berlari merentasi hutan bagi meningkatkan kecergasan mereka.

Pada masa sama, tambahnya, mereka juga mengikuti sesi motivasi bagi menambah moral dan semangat mereka untuk memburu kejuaraan ketiga selepas merangkul Piala FA dan muncul juara Liga Super musim ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vUaRLvCD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan