ARKIB : 24/08/2008
KUALA LUMPUR - Kedah menguasai
tujuh daripada 10 kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2007-2008 dengan
penjaga golnya, Helmi Eliza Elias dipilih sebagai Penjaga Gol Popular dan
Pemain Paling Bernilai sekali gus pada majlis penyampaiannya di Hotel Grand Millenium
di sini, semalam.Tonggak Si Kenari yang turut memenanginya ialah Victor Andrag
(Pemain Pertahanan Popular), Khyril Muhymeen Zambri (Pemain Tengah Popular),
Fadly Baharom (Pemain Harapan Popular), Marlon Alex James (Pemain Import
Popular) dan Azraai Khor Abdullah (Jurulatih Popular).
Helmi yang hanya baru mendapat
kepercayaan mewakili skuad negara menentang Indonesia, Jun lalu, turut membawa
pulang ganjaran RM2,000 selaku Pemain Paling Bernilai anugerah ini yang
dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy
Jamaluddin.
Liew Kit Kong yang dipinjamkan
bermain untuk Terengganu pada Piala Malaysia, memenangi kategori Penyerang
Popular dan dia terpilih berdasarkan aksinya bersama kelab Kedah, Kuala Muda
yang menyaksikan mereka bergelar juara Liga Perdana dan sumbangan 20 gol, musim
ini.
Perak dipilih sebagai Kelab
Penyokong Terbaik manakala Persatuan Bola Sepak Terbaik menjadi milik Negeri
Sembilan.
Tahun lalu anugerah berdasarkan
penghantaran Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), kali ini mengambil kira undian
pilihan peminat menerusi laman web FAM, www.fam. org.my.
Kata Azraai yang turut
menerajui Kedah mengumpul Piala FA dan Liga Super musim ini: "Anugerah
buat Kedah ini membuktikan pengiktirafan dan penghargaan peminat tanah air.
Kami mengambilnya sebagai pemangkin semangat ke arah pencapaian yang lebih baik
dan belum pernah dilakukan pasukan lain.
"Helmi tidak menyerlah
dalam masa yang singkat. Dulu dia dibayangi Megat Amir Faisal Ibrahim Al
Khalidy (kini di Selangor). Orang yang memajukan Helmi ialah Ahmad Sobri
Ismail, bekas penjaga gol Kedah dan kebangsaan yang tidak kedekut ilmu dan
banyak bertungkus-lumus," katanya.
Sementara itu Kit Kong yang juga
penjaring terbanyak kalangan pemain tempatan Liga Perdana, berkata, "saya
gembira tetapi tidak menyangka dipilih memenangi anugerah ini. Saya hanya
sentiasa berikan yang terbaik untuk sebarang pasukan yang diwakili (Terengganu
dan Kuala Muda musim ini).
"Saya juga akan cuba
menggembirakan peminat dengan aksi saya di padang dan terserah kepada jurulatih
(untuk menyenaraikan saya semula ke skuad negara)," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zvPscYTR
© Utusan Melayu (M) Bhd