ARKIB : 19/03/2007
ALOR STAR Pengurus pasukan
bola sepak Kedah, Datuk Othman Aziz menyifatkan percaturan ketua jurulatih,
Mohd. Azraai Khor Abdullah mengena sehingga membolehkan pasukan itu menumpaskan
Perak 2-1 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman,
kelmarin, lapor, SHARIZA ABDULLAH.
Beliau yang memuji tindakan
Mohd. Azraai itu berkata, percaturan jurulatih itu yang membuat pertukaran
beberapa orang pemain di beberapa posisi pada separuh masa kedua telah memberi
suntikan baru kepada para pemain Kedah untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1.
Setelah menilai prestasi
pemain pada separuh masa pertama, beberapa rombakan posisi dan pertukaran
pemain di buat pada babak kedua dan percaturan jurulatih membuahkan hasil
dengan Kedah berjaya memenangi perlawanan tersebut, katanya di sini semalam.
Dalam perlawanan tersebut, dua
gol pada babak kedua perlawanan membolehkan Kedah menumpaskan Perak 2-1 untuk
melonjak ke tangga teratas Kumpulan C.
Kedah dikejutkan dengan gol
oleh ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar apabila rembatan kencangnya pada
minit ke-33 dari luar kotak penalti mengenai kaki pemain pertahanan Kedah
sebelum bola menerjah gawang.
Kedah yang membuat beberapa
pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukkan penyerang kebangsaan,
Saramsak Kram, Mohd. Bunyamin Omar dan Shafizan Hashim kemudiannya berjaya
menyamakan kedudukan pada minit ke-70 menerusi rembatan cantik Marlon Alex
James hasil sepakan percuma.
Gol kemenangan Kedah muncul
pada minit ke-90 selepas Saramsak menolak masuk bola rembatan Marlon yang
sebelum itu sempat ditampan oleh penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad.
Othman turut memuji semangat
juang pemain muda Kedah yang bermain habis-habisan sehingga ke wisel penamat
dibunyikan untuk mencari kemenangan.
Atas semangat juang dan
kegigihan pemain inilah yang memberi kemenangan kepada Kedah meskipun
ketinggalan kepada pihak lawan.
Hakikat ini telah dibuktikan
bukan sahaja dalam perlawanan kelmarin malah dalam beberapa perlawanan sebelum
ini seperti menentang Melaka yang mana kita ketinggalan tetapi akhirnya berjaya
memenangi perlawanan berkenaan,'' katanya.
SUMBER
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4tPWAyy5J
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan