ARKIB : 18/04/2007
Oleh SHARIZA ABDULLAH
ALOR STAR Pendahulu Liga
Super, Kedah terpaksa melangkah ke Stadium Perak dalam keperitan apabila lima
pemain utamanya tidak dapat diturunkan menjelang pertemuan sengit menentang
Perak, malam ini.
Tiga pemain Sang Kenari iaitu
Khyril Muhymeen Zambree, Saramsak Kram dan Sabree Abu kini bersama skuad
Olimpik negara manakala ketua pasukan, Victor Andrag serta Fazliata Taib pula
digantung perlawanan selepas masing-masing mengumpul tiga kad kuning.
Lebih menyulitkan skuad
kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu ialah tahap kecergasan pemain import
dari St. Vincent, Bernard Hugging masih diragui selepas cedera ketika menentang
Telekom FC pada 11 April lalu.
Jika Hugging tidak dapat
diturunkan pada perlawanan malam ini, benteng Kedah terutama di posisi bek
tengah pasti berdepan masalah ditambah dengan ketiadaan Victor untuk mengekang
jentera serangan Perak. Bagaimanapun, Mohd. Azraai tetap optimis dengan
kekuatan pasukannya dengan meletakkan kepercayaan tinggi kepada barisan pemain
yang bakal diturunkannya.
Kedah pernah melalui keadaan
seumpama ini dan yakin dapat mengatasinya jika para pemain yang diturunkan
kekal fokus dengan memberi komitmen dan persembahan terbaik.
Masalah posisi bek tengah
pula diyakini dapat ditampung oleh pemain muda, Mohd. Bunyamin Omar atau Sany
Mat Isa. Kedah akan bermain seperti biasa tetapi perlu lebih berhati-hati
kerana Perak pasti bermain habis-habisan malam ini, katanya di sini, semalam.
Kedah kini mengungguli saingan
Liga Super apabila mengumpul 36 mata selepas mengharungi 16 perlawanan
sementara Perak di tangga keempat liga dengan 28 mata daripada 15 perlawanan.
Dalam pada itu, mengulas
mengenai kekuatan pasukan Perak, Mohd. Azraai berkata, Kedah menghormati
Seladang sebagai sebuah pasukan yang konsisten dalam saingan domestik meskipun
berjaya mengalahkannya sebanyak tiga kali musim ini.
Menurutnya, pertembungan tiga
kali tersebut membolehkan Perak masak dengan corak permainan anak buahnya dan
skuad bimbingan Steve Darby itu pasti akan memperbaiki persembahan untuk menebus
dendam kekalahan mereka.
Oleh itu pemain diingatkan
supaya tidak leka tatkala Kedah kini berada di landasan terbaik untuk menjuarai
liga musim ini, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tWdgK2tY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan