ARKIB : 19/05/2007
Oleh: SHARIZA ABDULLAH
ALOR STAR Ketua jurulatih
bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berharap barisan pemainnya tidak
berkarat selepas berehat 10 hari menjelang perlawanan Liga Super menentang
Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan malam ini.
Kedah kali terakhir beraksi
pada 9 Mei lalu yang menyaksikan pendahulu liga itu menumpaskan Johor FC 1-0.
Menurut Mohd. Azraai, dengan
berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan, adalah amat penting buat anak buahnya
mengekalkan rentak kemenangan jika mahu memastikan Kedah terus berada di puncak
liga.
Katanya, sebarang keciciran
mata akan memberi peluang kepada pasukan lain memintas atau merapati Kedah
memandangkan perbezaaan mata yang tidak jauh berbeza antara satu sama lain di
kelompok lima teratas liga.
Saya berharap sentuhan pemain
Kedah tidak berkarat selepas berehat panjang.
Kita perlu mengambil mata
sebanyak mungkin kerana kedudukan di tempat teratas liga boleh berubah
bila-bila masa jika Kedah keciciran mata, katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini, semalam.
Kedah menerajui Liga Super
dengan mengumpul 39 mata selepas mengharungi 18 perlawanan manakala Pulau
Pinang menduduki tempat kelapan dengan 23 mata daripada 19 perlawanan.
Menurut Mohd. Azraai, kesemua
pemain Kedah termasuk dua pemain Olimpik negara iaitu Mohd. Khyril Muhymin dan
Sabree Abu cergas dan bebas untuk diturunkan.
Katanya, Ahmad Fauzi Shaari dan
V. Thirumurugan tidak dapat bersama pasukan itu kerana menyertai skuad negara
di Australia.
Beliau berpuas hati dengan
kebangkitan penyerang veteran, Hasmawi Hassan yang menemui sentuhan gol
walaupun baru pulih daripada kecederaan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4u7EkA2of
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan