ARKIB : 22/02/2007
PEMAIN import Kedah, Marlon
Alex James (dua dari kiri ) diasak dua pemain Perlis, Azizi Mat Rose (kiri) dan
Jurad Chamrong dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman,
Alor Star, semalam. Kedah menang 1-0. Gambar ISMAIL KAMADIN.
KUALA LUMPUR Rekod tanpa
kalah Perlis berkecai gara-gara jaringan gol seawal minit ketiga buat Kedah
menggamit kemenangan paling bermakna menewaskan pendahulu Liga Super itu dengan
keputusan 1-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.
Di hadapan kira-kira 27,000
penonton menyaksikan kehebatan sebenar Kedah berjaya mengekang setiap gerakan
Perlis daripada terus memahatkan kemenangan.
Begitupun kekalahan mengejut
skuad Singa Utara tidak menjejaskan kedudukan mereka selaku pendahulu kekal
dengan 20 mata.
Manakala kemenangan buat Kedah
merapatkan mereka untuk mencabar kedudukan Perlis apabila ketinggalan dua mata.
Gol kemenangan Kedah diperoleh
seawal minit ketiga selepas Shafiq Jamal menyempurnakan hantaran Marlon Alex
James untuk gol tunggal perlawanan.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kesempatan bermain di tempat
sendiri apabila sekadar seri 1-1 berdepan Telekom Melaka.
Memecah kebuntuan jaringan pada
minit ke-75 hasil sepakan Zairol Anuar Zalani, Terengganu seakan ceria
menggamit kemenangan berharga.
Namun lima minit sebelum tamat,
Effendy Malik memadamkan kelebihan milik tuan rumah apabila mencipta jaringan
penyamaan bagi mengikat kedudukan 1-1.
Di Stadium Perak, Keita Mandjou
dan Muhammad Khalid Jamlus memastikan Perak selesa membawa tiga mata penuh
apabila menewaskan Melaka 2-0.
Perak memecah kebuntuan
jaringan menerusi penyerang Muhammad Khalid Jamlus pada minit ke-51.
Gol dihasilkan ketika berlaku
perebutan di dalam kotak penalti Melaka dan ketika itu Khalid mudah menguis
masuk.
Keita Mandjou menambah gol
kedua menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-88.
Di Stadium Bandaraya, biarpun
Selangor beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 66 minit tetapi mereka masih
mampu mengutip kemenangan berharga apabila menewaskan Pulau Pinang 2-1.
Selangor membuka jaringan awal
pada minit ke-15 menerusi tandukan pemain kebangsaan Fadzli Saari.
Tetapi malang buat Merah Kuning
apabila beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga golnya, Megat Amir Faizal
dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Ahmad Norafandy Md. Yatim pada minit
ke-24 di kawasan kotak penalti.
Pengadil tidak teragak-agak
menghadiahkan sepakan penalti untuk Pulau Pinang yang kemudiannya disempurnakan
oleh A. Jaganathan bagi mengikat kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, gol kemenangan
Selangor dijaringkan oleh Mohamad Fadhil Hashim pada minit ke-61.
Di Stadium Jcorp, Walter Ariel
Silva muncul hero apabila dua jaringannya membantu Johor FC menewaskan Pahang
2-1.
Rembatan menggegar jaringan
Ariel Silva pada minit ke-28 sebelum disusuli tandukan cantiknya pada minit
ke-55 meranapkan terus kekuatan Pahang.
Begitupun Pahang memperoleh gol
saguhati jaringan pemain pertahanan Johor FC, Chakeatawee Promrut minit ke-63.
Di Stadium Sarawak, Brunei
mengutip tiga mata berharga untuk mengukuhkan kedudukan mencabar pendahulu liga
apabila menewaskan Sarawak 1-0.
Gol kemenangan Brunei
dijaringkan seawal minit kedua apabila Md. Shahrazen melepaskan rembatan dekat
menewaskan penjaga gol Sarawak, Mahathir Mohamad.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tKWGVp2S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan