ARKIB : 24/06/2007
Oleh: AMRAN MULUP dan METRA
SYAHRIL MOHAMED
PENYERANG Perlis, Zacharia
Simukonda (kiri) menanduk bola sambil dihalang dua pemain Johor Pasir Gudang
dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Kangar, malam tadi.
KUALA LUMPUR Kedah dan Perlis
akan menentukan juara Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada
perlawanan separuh akhir kedua yang penuh aksi dramatik, semalam.
Impian Kedah menjadi realiti
selepas 11 tahun menunggu di sebalik keputusan seri 1-1 kepada Selangor di
Stadium Shah Alam, semalam.
Kedah mengesahkan tempat ke
perlawanan akhir yang dijadualkan pada 30 Jun ini menerusi agregat 3-1 selepas
menang 2-0 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu
lalu.
Ketika Kedah bergembira ke
perlawanan akhir buat kali kedua selepas melakukannya pada 1996, Selangor
kecewa dengan kecederaan lutut kiri yang menimpa penyerang kebangsaan, Akmal
Rizal Rakhli selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah tiga minit sebelum rehat.
Pastinya, jurulatih kebangsaan
Norizan Bakar adalah orang paling kecewa melihat Akmal Rizal diusung keluar dan
terus mendapat rawatan di hospital selepas itu.
Gol tunggal jaringan pemain
pertahanan kiri Selangor, D. Surendren pada masa kecederaan babak pertama
hendak ditamatkan menyuntik semangat pemain Merah Kuning ketika agregat
berkedudukan 2-1.
Namun, pada minit ke-78 ayam
tambatan Kedah, Marlon Alex James mengikat kedudukan 1-1 selepas dia menolak
mudah hantaran Hasmawi Hassan.
Selangor lebih awal melakukan
serangan bertali arus ke arah benteng pertahanan Kedah tetapi percubaan
gandingan dua penyerang kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali
sering tidak menepati sasaran.
Pada minit ke-20 Mohd Amri
Yahyah hampa apabila sepakan kencangnya dari luar kotak penalti melebar keluar
di sebelah tiang kiri gol Kedah.
Selangor jelas menguasai pentas
saingan ketika Kedah lebih banyak bertahan menangkis asakan bertubi-tubi kali
jentera serangan tuan rumah.
Tiga minit sebelum rehat
Selangor pincang apabila penyerangnya Akmal Rizal mengalami kecederaan lutut
selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah dan terpaksa diusung keluar padang.
Kedah akhirnya memperoleh gol
penyamaan jaringan Marlon Alex James pada minit ke-78 menolak mudah selepas
menerima hantaran Hasmawi Hassan.
Sementara itu, dalam satu lagi
perlawanan separuh akhir, jaringan keramat Zacharia Simukonda pada minit ke-70
berjaya meletakkan Perlis ke final selepas menumpaskan Johor Pasir Gudang
(Johor PG) 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.
Walaupun terikat secara agregat
2-2, Perlis menempah tiket ke perlawanan berdasarkan sistem jaringan di tempat
lawan.
Dalam aksi separuh akhir
pusingan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 16 Jun lalu, Johor PG
menewaskan Perlis 2-1.
Kejayaan Perlis pada malam ini
cukup bermakna walau terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd. Hardi
Ahmad dilayangkan kad merah pada minit ke-54 setelah mengasari pemain tengah
Johor PG, Mohd. Rizal Roslan.
Johor PG memperoleh peluang seawal
minit kedua menerusi Douglas Santos, namun cubaan tersebut sia-sia apabila
sepakannya terkena tiang gol Perlis.
Tersentak dengan cubaan itu,
Singa Utara mengukuhkan kedudukan dan melancarkan serangan demi serangan
bagaimanapun pertahanan lawan dilihat begitu ampuh.
Gol yang dinanti-nantikan
Perlis akhirnya hadir pada minit ke-70 menerusi tandukan Simukonda setelah
Norazlan gagal menangkap bola hasil sepakan jauh Kabwe Kamuzati
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAKWgDRB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan