ARKIB : 30/05/2007
Penyerang Perlis, Phillimon
Chipeta (kanan) membawa bola sambil dihalang oleh tiga pemain Sabah dalam
perlawanan bola sepak Piala FA di Stadium Utama Kangar, malam tadi.
KUALA LUMPUR Seperti yang
diramalkan Kedah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan UPB/
MyTeam 3-0 dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman,
semalam.
Berbekalkan kemenangan besar
menewaskan lawan 4-1 pada 22 Mei lalu, tuan rumah jelas tidak tergugat untuk
mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menerusi agregat 7-1.
Mendapat sokongan padu peminat
Kedah nyata terlalu ampuh dan sukar digugat oleh UPB/MyTeam untuk memadamkan
kelebihan tiga gol milik tuan rumah.
Hanya 14 minit babak
berlangsung tuah memihak kepada Kedah apabila dihadiahkan sepakan penalti
selepas penjaga gol pelawat mengkasari Saramsak Kram.
Nelson Sam Martin tidak
menghadapi masalah menyempurnakan sepakan penalti buat Kedah mendahului lawan
1-0.
Kedudukan Kedah semakin mantap
dengan giliran pemain veteran Hasmawi Hassan pula meledakkan jaringan kedua
pada minit ke-65 dan gol ketiga dihasilkan oleh L. Rajesh pada minit ke-90.
Di Stadium MBPJ Kelana Jaya
bekas juara 2005 Selangor tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan tempat ke
separuh akhir.
Biarpun sekadar mencatat
keputusan seri 1-1 ketika berdepan PKNS, ia sudah cukup memastikan kemaraan
skuad Merah Kuning.
Selangor yang muncul juara pada
2005 menewaskan Perak 4-2 mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-2 setelah
menang pada saingan suku akhir pertama 2-1.
Selangor membuka jaringan
seawal minit ke-10 menerusi pemain kebangsaan, Fadzli Saari.
Namun, empat minit selepas itu
PKNS tangkas bertindak cemerlang untuk mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan
Mohizam Shah Dawood.
Di Stadium Utama, naib juara
tahun lalu Perlis melangkah dengan bergaya ke separuh akhir selepas menewaskan
Sabah 3-0.
Kemenangan tersebut memastikan
Perlis layak dengan agregat 5-2 selepas pada pertemuan pertama mereka seri 2-2.
Skuad Singa Utara membuka
jaringan pada minit ke-32 menerusi jaringan bintang import, Philimon Chepita.
Gol berpunca daripada hantaran
menarik Zachariah Simukonda dan Chepita terus merembat leret menewaskan penjaga
gol Sabah, Irwan Jamil.
Gol kedua sepakan leret Azmizi
Azmi pada minit ke-52 selepas mendapat hantaran Mohd. Khairul Anuar Ramli dan
Chepita menambah gol ketiga pada minit ke-84.
Di Stadium Negeri Batu Kawan,
Johor Pasir Gudang muncul satu-satunya pasukan berstatus kelab mara ke separuh
akhir selepas menewaskan Kuala Muda Naza 2-1.
Johor Pasir Gudang mengesahkan
kemaraan itu menerusi agregat 4-1 setelah menang 2-0 pada suku akhir pertama.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u7xyiRev
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan