ARKIB : 01/04/2007
TONGGAK Melaka, Zami Md. Nor
(kiri) diasak oleh pemain Kedah, Marlon Alex James dalam saingan Liga Super di
Stadium Hang Jebat, malam tadi. Kedah menang 3-1.
KUALA LUMPUR Kedah merampas
kedudukan pendahulu Liga Super daripada Perak selepas mencipta kemenangan 3-1
ke atas Melaka dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat, semalam.
Walaupun beraksi di gelanggang
lawan, ia tidak menghalang Kedah untuk memungut tiga mata penting untuk
mengumpul 31 mata daripada 13 perlawanan.
Perak yang ketinggalan tiga
mata tidak beraksi semalam dan hanya akan turun menentang Brunei di Bandar Seri
Begawan dalam perlawanan ke-14 mereka, hari ini.
Pada babak pertama, Kedah mudah
mendahului 2-0 menerusi jaringan cantik Mohd. Kyril Muhymeen Zamri (m-32) dan
gol sendiri pemain Melaka, M. Elangoo (m-39).
Melaka berjaya merapatkan
kedudukan menerusi Patrick Volf (m-50) tetapi tidak menjejaskan tumpuan Kedah
untuk membuat tuan rumah tambah derita dengan gol ketiga menerusi Saramsak Kram
(m-82).
Perlis turut mencatat
kemenangan semalam selepas menewaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan di Stadium
Utama Negeri, Kangar.
Kemenangan itu membolehkan
Perlis melonjak dari tangga kelima ke tangga ketiga liga di belakang Kedah dan
Perak dengan 26 mata.
Gol-gol Perlis dijaringkan
ketua pasukan, Kapwe Kamuzati (m-9) dan Philimon Chipieta (m-65) untuk
meletakkan Selangor kekal di tangga kelapan.
Negeri Sembilan (NS) Naza pula
mencipta kemenangan besar 4-0 ke atas Terengganu pada perlawanan di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Ini merupakan kemenangan
keempat NS Naza selepas prestasi tidak menentu sepanjang musim ini sekaligus
menyelamatkan seketika kedudukan jurulatih Hatem Soussi yang dikecam hebat.
NS Naza memperoleh gol pertama
seawal minit pertama menerusi Frederico Decastro sebelum diikuti jaringan Anuar
Jusoh (m-26), Shahrizam Mohd. (m-38) dan Liew Kit Kong (m-51).
Pahang juga mencatat kemenangan
selesa 2-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur,
Kuantan.
Gol tuan rumah disumbang
menerusi rembatan jarak jauh Rosdi Talib pada minit ke-25 dan V. tandukan
Saravanan pada minit ke-85.
Johor FC pula mengejutkan
Telekom Melaka apabila menang 2-0 dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Petaling
Jaya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tTd9aTpi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan