Khamis, 21 September 2017

Kedah teruskan aksi tanpa empat tonggak



ARKIB : 03/03/2007

Oleh: SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Kedah dijangka beraksi tanpa khidmat empat pemain utamanya yang mengalami kecederaan apabila berdepan PDRM dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium MPS, Selayang malam ini.

Kempat-empat tonggak Sang Kenari yang masih diragui tahap kecergasan mereka selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini dan ketika sesi latihan ialah Ahmad Fauzi Shaari, K. Soley, Badrul Bakhtiar dan Hasmawi Hassan.

Bagaimanapun keadaan itu tidak meresahkan ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang yakin barisan pemain gantian skuad Hijau Kuning mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan sekiranya diturunkan beraksi.

‘‘Kita akan menunggu laporan kesihatan terkini keempat-empat pemain itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menurunkan mereka atau sebaliknya.

‘‘Apa sekalipun, biarpun tanpa mereka, saya percaya pemain simpanan Kedah berupaya memainkan peranan masing-masing jika berpeluang diturunkan.

‘‘Ini kerana Kedah tidak mengharapkan pemain-pemain tertentu sahaja untuk membawa cabaran musim ini, tetapi harapan disandarkan kepada kesemua pemain yang dipilih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Selain kemungkinan kehilangan kelibat empat pemain utama itu, pasukan Hijau Kuning juga tidak dapat menggunakan khidmat Saramsak Kram, Khyril Muhymeen dan Sabree Abu yang kini menyertai skuad Olimpik negara.

Kedah kini menduduki tangga kedua Kumpulan C saingan Piala Malaysia selepas berkongsi tujuh mata dengan Sabah yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Mohd. Azraai turut memberi amaran kepada anak buahnya mengenai kekuatan PDRM yang boleh mengecewakan hasrat mereka untuk pulang dengan tiga mata meskipun lawannya itu cuma beraksi dalam Liga Perdana.

‘‘PDRM kini menerajui saingan Liga Perdana dan mempunyai pemain pengalaman terutama di bahagian pertahanan dengan membariskan ramai bekas pemain Sarawak di hampir kesemua posisi di bahagian tersebut.

‘‘Malah ketiga-tiga pemain importnya bermain di bahagian serangan. Oleh itu saya mengingatkan para pemain supaya jangan leka atau mengambil mudah dengan kekuatan lawan sekiranya mahu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan malam ini,” katanya

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tMFZZboM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan