Khamis, 21 September 2017

Kedah semakin yakin hadapi Sabah



ARKIB : 24/02/2007
Oleh: SHARIZA ABDULLAH dan SITTI NOR AZIZAH TALATA

ALOR STAR – Kedah dijangka mengekalkan kesebelasan sama yang meranapkan rekod tanpa kalah Perlis, Rabu lalu apabila berdepan Sabah dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

Pertemuan itu dijangka sengit memandangkan setakat ini mereka telah memenangi kedua-dua perlawanan sekali gus berkongsi enam mata dan hanya perbezaan jaringan menyebelahi Sabah untuk menerajui Kumpulan C.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, Sang Kenari selaku pasukan Liga Super tetap tidak memandang remeh perlawanan tersebut meskipun berdepan dengan lawan yang cuma beraksi dalam Liga Perdana.

“Saya akan mengekalkan kesebelasan Kedah yang menewaskan Perlis, kerana kami mahu mendapatkan rentak kemenangan dan corak permainan yang baik itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, Kedah akan turun dengan strategi menyerang dan ‘pulun’ habis-habisan demi memburu mata penuh sekalipun mengakui pelawat tetap mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri.

“Saya telah melihat corak permainan Sabah ketika mereka menumpaskan Kuala Muda 2-1 dalam perlawanan Liga Perdana, bulan lalu. Mereka memiliki pemain yang berkualiti dan penyerang importnya, Charles Obi merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Sabah, Rahman Zakaria bagaimanapun mengingatkan pemainnya agar tidak terus terbuai dengan kejayaan mereka dalam dua perlawanan lalu.

“Rekod pertemuan kita agak seimbang, justeru saya nasihatkan pemain supaya tidak ambil mudah pertemuan ini kerana tumpuan kita sekarang ialah mara ke suku akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tKbatW2a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan