ARKIB : 17/06/2007
PENJAGA gol Selangor, Megat
Faizal (kiri) melompat untuk menyelamatkan bola apabila diasak oleh penyerang
Kedah, Marlon Alex James pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala
FA di Alor Star, malam tadi.
KUALA LUMPUR Kedah dan Johor
Pasir Gudang (PG) memperoleh bekalan agak selesa selepas mencatat kemenangan ke
atas lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA,
semalam.
Kedah mengatasi tentangan
sengit Selangor sebelum menang 2-0 manakala Johor PG menewaskan Perlis 2-1.
Jelas kedua-dua pasukan
menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam mencipta kemenangan
sebelum bertandang ke gelanggang lawan pula untuk separuh akhir kedua pada 23
Jun ini.
Di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, Selangor mendapati benteng tuan rumah begitu sukar ditembusi walaupun
bermain secara menyerang.
Sebaliknya, Kedah memerlukan 13
minit untuk menembusi benteng pasukan pelawat menerusi Marlon Alex James yang
menolak mudah bola ke gawang terbuka selepas menyambut hantaran V.
Thirumurugan.
Kedah yang beraksi di depan
30,000 penyokong sendiri nyaris menambah jaringan menerusi tandukan Hasmawi
Hassan tetapi sedikit tersasar atas palang gol pada minit ke-31.
Selangor dilihat cuba menyaingi
pasukan tuan rumah dengan gerakan-gerakan tersusun di babak pertama tetapi
kemudiannya dilihat tenggelam dalam asakan pantas Kedah pada babak kedua.
Dengan mempertingkatkan tempo
permainan, Kedah jelas tidak menghadapi masalah untuk menambah jaringan.
Selepas beberapa kali mengatur
gerakan-gerakan bahaya menerusi Marlon akhirnya gol kedua menyusul juga
menerusi sepakan penalti Nelson Sam Martin pada minit ke-66.
Sepakan penalti dihadiahkan
pengadil Subki Din selepas Hasmawi dijatuhkan P. Gunalan dalam kotak penalti
ketika melakukan larian solo ke arah gol Selangor.
Hasrat Selangor untuk
sekurang-kurangnya mencari satu gol sebagai bekalan ke separuh akhir kedua
tidak kesampaian apabila sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-81 berjaya
ditepis penjaga gol Kedah, N. Helmi Eliza Alias.
Di Stadium Larkin, Johor Bahru,
hujan sebelum perlawanan menjejaskan sedikit rentak permainan kerana padang
becak tetapi Johor PG masih mampu mencipta jaringan berharga pada minit ke-17.
Gol berpunca hasil sepakan
percuma yang diambil Mohd. Khairul Ismail yang menyebabkan berlaku keadaan
kelam kabut di depan gawang Perlis sebelum Mohd. Shukri Ismail mudah menyepak
masuk.
Perlis cuba bangkit menerusi
dua penyerang mereka, Azhar Ismail dan Philimon Chipieta tetapi nasib tidak
menyebelahi mereka untuk memperoleh gol penyamaan.
Tandukan Azhar pada minit ke-35
tersasar atas palang manakala bola sepakan gunting Chipieta pada minit ke-43
terkena tiang.
Babak kedua, Perlis
meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi seminit selepas
permainan bersambung, Shukri menyelamatkan pasukannya apabila menampan bola
keluar sepakan Azmi Azmizi ketika gawang terbuka luas.
Dalam sibuk dan lama mengasak,
Perlis malangnya dikejutkan dengan gol kedua Johor PG juga berpunca dari
sepakan percuma pada pada minit ke-87.
Ivan Sega Senjo yang mengambil
sepakan itu mengumpan tepat ke kepala Mohd. Khairul untuk menanduk masuk ke
gawang Perlis.
Ketika perlawanan seakan
berkesudahan selesa buat Johor PG, Perlis tanpa disangka mendapat gol sagu hati
pada minit-minit terakhir permainan.
Mohd. Khairul Anuar Ramli yang
berlegar-legar di tengah padang tiba-tiba melakukan sepakan jarak jauh yang
terus menerjah jaring sekaligus melegakan Perlis yang sudah hampa sebelumnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9Nc0YPn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan