ARKIB : 08/04/2007
KUALA LUMPUR Kedah terus
mengungguli persada teratas dengan bergaya mengutip tiga mata penuh apabila
menewaskan Terengganu 3-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium
Darul Aman, malam tadi.
Kemenangan tersebut memastikan
Kedah memungut 35 mata untuk terus menjarakkan diri daripada saingan terdekat
Brunei DPMM yang tewas 3-2 kepada Perlis.
Kedah nyata garang sebaik babak
bermula, hanya 11 minit permainan berlangsung Marlon Alex James mencipta
jaringan awal setelah menerima lambungan cantik Nelson Sam Martin.
Marlon mengukuhkan kedudukan
Kedah apabila menyempurnakan bola muntah Md. Sharbini yang gagal menangkap
kemas sepakan percuma Nelson pada minit ke-42.
Gol ketiga Kedah menyusul pada
minit ke-78 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Nelson setelah Md.
Sharbini menjatuhkan Marlon di kotak penalti.
Di Stadium Utama, Perlis
melangkah ke tangga ketiga memintas Perak setelah menewaskan Brunei DPMM FC
3-2.
Perlis bertindak garang seawal
minit ketiga hasil ledakkan penyerang muda Azlan Ismail.
Brunei DPMM FC tersentak dengan
gol kedua Perlis juga menerusi Azlan tiga minit sebelum rehat namun pelawat
merapatkan jurang pada minit ke-47 hasil jaringan Alejandro Andreas Tobar.
Begitupun Brunei mengikat
kedudukan 2-2 menerusi jaringan Alejandro pada minit ke-61 tetapi Perlis
kembali mendahului menerusi jaringan ketua pasukan Mohd. Nazaruddin Md. Zin
pada minit ke-81.
Di Stadium Larkin, kejutan
berlaku apabila Johor FC melakarkan kemenangan paling manis apabila berjaya
menewaskan Perak 1-0.
Gol kemenangan Johor FC
dijaringkan oleh Walter Samuel di minit ke-73 menerusi tandukan cantik
menewaskan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang menarik nafas lega apabila meraih kemenangan bergaya membelasah Sarawak
5-0.
Gol-gol Pulau Pinang
dijaringkan oleh Mat Saiful Mohamad (m-9), Farizal Rozali (m-34), M. Prakash
(m-46), Ahmad Norafandy Yatim (m-90+1) dan Azrul Ahmad (m90+2).
Di Stadium Darul Makmur, Pahang
mengalami kekalahan kelima apabila tewas 3-0 kepada TMFC.
Zainuddin Ariffin meletakkan
TMFC di depan menerusi jaringan pada minit ke-24 dan gol kedua pula menyusul
melalui pemain import Chaswe Nsofwa tiga minit sebelum rehat.
Gol ketiga TMFC adalah
sumbangan Effendi Malek (m-77).
Di Stadium Shah Alam, Selangor
mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Negeri Sembilan Naza 2-1.
Pelawat mengejutkan tuan rumah
menerusi jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-15.
Namun Selangor bangkit mengikat
kedudukan menerusi Mohd. Amri Yahyah lima minit sebelum rehat dan gol kemenangan
dijaringkan oleh Fadzli Saari pada minit ke-83.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tVkpXEcX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan