ARKIB : 25/04/2007
Oleh SHARIZA ABDULLAH
ALOR STAR Kedah akan
menggunakan kesempatan rehat seminggu dengan sebaik-baiknya bagi memperkemaskan
pasukan dalam misi mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selain
memantapkan persembahan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
Sambil menyifatkan skuad Sang
Kenari kini menjadi pasukan yang ingin dikalahkan oleh semua pencabar, ketua
jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah lantas mengingatkan anak buahnya supaya
tidak lagi menoleh ke belakang memandangkan mereka berada pada landasan terbaik
untuk merangkul sebarang kejuaraan.
Mohd. Azraai turut memberi
amaran kepada para pemain Kedah supaya sentiasa berwaspada dan tidak berasa
cepat selesa atau berpuas hati dengan kedudukan semasa.
Banyak pasukan yang bertungkus
lumus untuk merangkak naik ke kelompok teratas liga sedangkan Kedah berada
dalam landasan terbaik. Begitu juga dengan saingan Piala FA dan Piala Malaysia
yang menyaksikan kita masih berupaya meneruskan kemaraan.
Oleh itu para pemain tidak
lagi boleh menoleh ke belakang, sebaliknya perlu mengekalkan kosentrasi dan
melipatgandakan usaha bagi memastikan terus kekal di puncak, katanya di sini,
semalam.
Kedah kini menerajui Liga Super
dengan mengumpul 36 mata setelah mengharungi 17 perlawanan. Juara Liga Perdana
musim lalu itu turut mengungguli Kumpulan C saingan Piala Malaysia dengan
mengumpul 15 mata daripada tujuh perlawanan selain layak ke suku akhir Piala
FA.
Menurut Mohd. Azraai, dia kini
boleh merencanakan kesebelasan dan srategi terbaik menjelang perlawanan akan
datang memandangkan kesemua 30 pemain yang disenaraikan pada musim ini bebas
daripada sebarang kecederaaan mahupun dipanggil untuk bersama skuad negara.
Keadaan itu katanya, amat
melegakan kem Kedah yang jarang dapat menurunkan barisan terkuatnya dalam
kebanyakan perlawanan sepanjang musim ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tY8fs0kQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan