ARKIB : 09/04/2007
Oleh AMRAN MULUP
Rembatan Marlon Alex James
berjaya menghasilkan gol pertama Kedah selepas menewaskan penjaga gol Md
Sharbinee dari Terengganu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman,
Alor star, semalam. Gambar KAMAL BASIR.
KUALA LUMPUR Kedah terus
mengungguli persada teratas persaingan bola sepak Liga Super dengan kelebihan
empat mata ketika pencabar terdekat Brunei DPMM FC dan Perak rebah dalam
perlawanan masing-masing, kelmarin.
Beraksi di hadapan penyokong
sendiri yang memenuhi setiap ruang di Stadium Darul Aman menyaksikan betapa
kekentalan Kedah sukar ditandingi oleh Terengganu.
Kemenangan 3-0 ke atas
Terengganu menerusi dua jaringan daripada Marlon Alex James (m-13 dan m-23) dan
sepakan penalti Nelson Martin (m-80) mengukuhkan kedudukan Kedah yang perlu
mengharungi sembilan baki perlawanan sebelum dinobatkan selaku juara Liga Super
musim 2006-07.
Kelebihan empat mata dianggap
belum selamat buat Kedah menyedari Brunei DPMM FC, Perlis, Perak dan Terengganu
masih merupakan ancaman yang bakal menyekat hajat mereka untuk bergelar juara
liga musim ini.
Buat Brunei yang dianggap cukup
ampuh bermain di gelanggang sendiri tewas 3-2 kepada Perlis di Stadium Utama,
Kangar manakala Perak pula menerima kejutan tewas mengejut 1-0 kepada pasukan
berstatus kelab iaitu Johor FC di Stadium Larkin.
Kekalahan dua seteru utama
Kedah itu sedikit menceriakan jurulatih, Azraai Khor Abdullah lega dapat
menjarakkan diri dengan kelebihan empat mata.
Biarpun tewas, Brunei DPMM FC
masih lega berada di tangga kedua dengan 31 mata di sebalik kekalahan mereka
ketika terikat 2-2 namun jaringan ketua pasukan Nazaruddin Zain pada minit
ke-81 membantu Perlis menang dan melangkah di tanga ketiga memintas Perak.
Perak yang rebah mengejut hasil
jaringan Walter Silva masih mampu menarik nafas lega untuk berada di tangga
keempat dengan 28 mata, tujuh mata dipisahkan dengan Kedah.
Terengganu berada di tangga
kelima diikuti oleh P.Pinang (23), Pahang (23), Johor FC (20), Selangor (20),
Telekom Melaka (18), Negeri Sembilan (17), Melaka (6) dan Sarawak (3).
Sambil itu Melaka dan Sarawak
bergelut untuk mengelak daripada disingkirkan pada saingan Liga Super musim
depan.
Hanya satu pasukan yang
menduduki tangga terbawah liga ini akan disingkirkan beraksi dalam saingan Liga
Perdana musim depan bagi melengkapkan 14 pasukan bertanding.
Saingan Liga Super musim ini
menyaksikan hanya 13 pasukan bertanding setelah MPPJ menarik diri di saat-saat
akhir.
Dalam pada itu, Selangor
bangkit menemui sentuhan apabila mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Negei
Sembilan di Stadium Shah Alam.
Dua jaringan menerusi Mohd.
Amri Yahyah dan Fadzli Saari memastikan Selangor mengutip tiga mata berharga
sambil memperbaiki kedudukan liga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tVmGAXlL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan