Sabtu, 23 September 2017

Kedah, Brunei kukuh kedudukan Liga Super



ARKIB : 05/04/2007
Pemain Pulau Pinang, Ng Kok Heng (kanan) cuba mengawal bola daripada dirampas pemain Negeri Sembilan, Frederico De Castro pada perlawanan Liga Super di Stadium Paroi, Seremban, malam tadi. Negeri Sembilan menang 2-1.

KUALA LUMPUR - Kedah terus mengungguli persada teratas sekalipun sekadar terikat dengan keputusan seri 1-1 bertemu Sarawak dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sarawak, semalam.

Keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan Kedah selaku pendahulu liga dengan memungut 32 mata.

Sarawak mengejutkan pasukan pelawat seawal minit pertama menerusi jaringan Robert Eshun tetapi Syafiq Jamal menyamakan kedudukan 1-1 buat Kedah pada minit ke-44.

Di Stadium Sultan Hassanal Bokiah, Brunei DPMM terus mengekalkan rekod cemerlang di gelanggang sendiri apabila mudah menewaskan Selangor 2-0.

Kemenangan tersebut meletakkan Brunei berada di tangga kedua dengan 31 mata dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Kedah.

Penjaring terbanyak Liga Super, Shahrazain Said meledakkan jaringan ke-14 peribadinya apabila membuka jaringan pada minit ke-47.

Kedudukan Brunei makin kukuh apabila pemain Selangor, Zaizul Zainal Abidin Hassan membuat kesilapan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-63.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu tewas mengejut 2-1 kepada Johor FC.

Johor FC membuka jaringan menerusi Mat Saiful Sabtu (m-47) sebelum Walter Ariel Silva mengukuhkan kedudukan pelawat menerusi jaringan kedua (m-62).

Bagaimanapun Terengganu merapatkan jurang menerusi jaringan Mohd. Ashahari Samsuddin (m-79).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mengukir kemenangan bergaya apabila menewaskan Pulau Pinang 2-1.

Frederico Dos Santos memberikan gol pendahuluan buat tuan rumah pada minit ke-20 sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Farizal Rozali di minit ke-86.

Gol kemenangan Negeri Sembilan dijaringkan di minit-minit terakhir perlawanan menerusi Mohd. Aidil Zaquan Abdul Razak.

Di Stadium Utama Kangar, Telekom Melaka (TMFC) berjaya mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Perlis 1-0.

Penyerang import TMFC, Chaswe Nsofwa muncul hero apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-32.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang bangkit apabila membelasah Melaka 5-1.

V. Saravanan mencipta dua jaringan pada minit keempat dan 58.

Tiga gol lagi dijaringkan oleh Azizul Kamaluddin seawal minit pertama,diikuti oleh Jalaluddin Jaafar (m-63) dan Syed Farul Hakim (m-69) manakala gol tunggal Melaka dijaringkan oleh Md. Nor Derus (m-65).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tVYUMmCo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan