Sabtu, 30 September 2017

Eliza muncul wira Kedah



ARKIB : 01/07/2007

Oleh ROZILAN SALLEH dan ABDUL MUIN SAPIDIN

 
PENJAGA gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Alias begitu ceria selepas diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA, malam tadi.

NIBONG TEBAL – Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias muncul wira apabila aksi cemerlangnya menyelamatkan dua sepakan penalti menjadi kunci kejayaan skuad Kenari menamatkan kemarau 11 tahun untuk merangkul Piala FA, semalam.

Ini membolehkan mereka menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan itu.

Dengan kejayaan Kedah itu, Perlis terus mengulangi badi kekalahan ketiga pada perlawanan akhir selepas tahun lepas tewas kepada Pahang, juga menerusi penentuan sepakan penalti, selain dikecewakan Negeri Sembilan pada 2003.

Sepakan penalti Kedah disempurnakan Mohd. Bunyamin Omar, Hasmawi Hassan, Shafizan Hashim dan Sabri Abu manakala Perlis menerusi Azi Shahril Azmi dan Kabwe Kamuzati.

Kecemerlangan Mohd. Helmi Eliza yang berjaya membaca dengan tepat tendangan penalti Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain membolehkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Tendangan penalti keempat Kedah yang disempurnakan Sabri, menggamatkan 40,000 penonton yang sebahagian besar penyokong Kedah untuk menyaksikan barisan muda skuad Kenari, pulang bersama Piala FA.

Kedah yang pernah muncul johan pada 1996, menerima Piala FA itu yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Shah.

Perlis bagaimanapun perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang di depan pintu gol Kedah pada masa sebenar dan masa tambahan pada perlawanan yang berlangsung di stadium berkecuali itu.

Barisan muda Kedah pada awal lagi menampakkan tuah seolah-olah berpihak kepada mereka apabila penyerang skuad Olimpik, Mohd. Kyril Muhymeen mencemaskan pintu Perlis sebaik perlawanan memasuki minit kelima tetapi rembatan jarak dekatnya berjaya ditampan penjaga gol, Tay Sin Kiat.

Tanpa dua tonggak, V.Thirumurugan dan Ahmad Fauzi Shaari yang menggalas cabaran skuad kebangsaan pada pusingan akhir Piala Asia mulai 7 Julai ini, Kedah sekali lagi mencemaskan pintu gol Perlis melalui percubaan Hasmawi Hassan pada minit ke-15 tetapi sepakannya tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun seminit kemudian, kesilapan pertahanan Kedah, Mohd. Fazliata Taib mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti hampir membawa padah tetapi gagal dimanfaat Phillimon Chipeta apabila Mohd. Helmi yang menjaga gawang Kedah, beraksi cemerlang dengan membuat tepisan kemas.

Babak pertama ternyata milik Singa Utara yang kerap membuat serangan balas pantas melalui Chipeta dan Simukonda, namun benteng pertahanan Kedah yang dikemudi ketua pasukan, Victor Andrag dan Cornelius Benard, banyak membantu menyelamatkan pintu gol mereka.

Mohd. Nazaruddin yang juga ketua pasukan Perlis hampir mencipta nama sebagai penjaring namun tandukannya ke penjuru kanan gawang Kedah, sekali lagi ditepis Mohd. Helmi.

Anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah sekali lagi mendapat peluang mendahului Perlis sekiranya rembatan Saramsak Kram pada minit ke-42 yang diharap mencecah jaring, hanya melepasi depan pintu gol Perlis.

Mohd. Helmi sekali lagi bertindak cemerlang menepis rembatan Chipeta sembilan minit babak kedua bermula.

Kira-kira tujuh minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, Piala FA hampir pasti menjadi milik Perlis buat pertama kali apabila bola lontaran Azlan Ismail dibiarkan oleh pertahanan Kedah melantun tetapi hanya sekadar terkena tiang gol Kedah.

Dalam aksi masa tambahan, kedua-dua pasukan saling mengasak antara satu sama lain namun masih gagal membuahkan hasil.

Tiang gol sekali lagi menjadi penyelamat Kedah hasil rembatan kencang Mohd. Redzuan dua minit sebelum permainan tamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uB6ZCLx4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan