ARKIB : 22/04/2007
SENGIT... tonggak Kuala Lumpur,
Khairan Ezuan Razali (dua dari kiri) diasak oleh pemain Selangor, Mohd. Amree
Yahyah dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam
tadi. Gambar ASWAD YAHYA.
KUALA LUMPUR - Pendahulu
Selangor menerima kejutan apabila tewas mengejut 1-3 kepada Kuala Lumpur
saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.
Kekalahan itu bagaimanapun
tidak menjejaskan kedudukan Selangor yang masih selesa di tangga teratas dengan
13 mata.
Kuala Lumpur mengejutkan
Selangor dengan jaringan awal pada minit ke-53 menerusi Kevin Lamey tetapi
Akmal Rizal Rakhli mengikat kedudukan 1-1 dua minit selepas itu.
Namun, skuad warga kota tampak
ampuh apabila gol kedua menyusul hasil jaringan Feldaus Hamid pada minit ke-62
dan gol ketiga pula menyusul menerusi Zamri Hassan 10 minit sebelum tamat perlawanan.
Di Stadium Larkin, Perlis
melangkah ke tangga kedua di belakang Selangor seperti yang diramalkan apabila
mudah menewaskan Johor Pasir Gudang 2-1.
Begitupun, Johor Pasir Gudang
mengejutkan pelawat dengan gol awal menerusi Ahmad Norhafizah Basri pada minit
ke-26.
Namun, Perlis bangkit
menyamakan kedudukan menerusi Zachariah Simukonda pada minit ke-35 dan gol
kemenangan Singa Utara diledakkan oleh Philimon Chepita seminit sebelum rehat.
Perlis kini memungut 11 mata
memintas Johor Pasir Gudang yang masih kekal dengan 10 mata untuk berada di
tangga ketiga.
Di Stadium MBPJ, Telekom Melaka
(TMFC) meraih kemenangan berharga apabila mudah menewaskan Johor FC 3-1.
Chaswe Nsofwa membuka jaringan
TMFC pada minit ke-42 tetapi Johor FC mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan
Gaston Conlon pada minit 53.
Namun, dua jaringan lagi
menyusul buat TMFC menerusi Zainuddin Ariffin (m-65) dan Hairul Nizam Hanif
(m-72) bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah.
Dalam saingan Kumpulan B,
Marian Juhas mencipta jaringan membantu Negeri Sembilan menewaskan Melaka 3-2
di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekaligus melonjakkan kedudukan di tangga
teratas mengatasi Terengganu.
Kemenangan buat Negeri Sembilan
memastikan mereka mengutip 14 mata sama dengan Terengganu yang seri 1-1 bertemu
Pulau Pinang tetapi dibezakan oleh jaringan gol.
Liew Kit Kong meletakkan tuan
rumah di depan menerusi jaringan seawal minit kelapan dan Anuar Jusoh
mengukuhkan kedudukan 12 minit selepas itu.
Bagaimanapun, Melaka mengikat
kedudukan 2-2 menerusi jaringan Patrick Volf seminit sebelum rehat dan Faderin
Kadir pada minit ke-62.
Namun, tuah memihak kepada tuan
rumah apabila Juhas merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-66.
Di Stadium Bandaraya, Zafran
Olibullah menjadi penyelamat apabila jaringan membantu Pulau Pinang seri 1-1
berdepan Terengganu.
Pulau Pinang tempang terpaksa
beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol utama, Mohd. Faizal Yusof
dilayangkan kad merah selepas mengkasari pemain Terengganu seawal minit
kesembilan.
Kelebihan itu digunakan
sepenuhnya buat Terengganu dan akhirnya menemui jaringan awal menerusi tandukan
cantik pemain import Fabio Flor pada minit ke-60.
Pulau Pinang berjaya mengikat
kedudukan 1-1 menerusi jaringan Zafran Olibullah pada minit ke-86 hasil
hantaran Farizal Rozali.
Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
kelebihan bermain di tempat sendiri dimanfaatkan oleh Kelantan apabila meraih
kemenangan 3-0 menewaskan ATM.
Seawal minit kelima Kelantan
memperoleh gol pertama menerusi pemain import Luciano Ignacio Olier dan dia
menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-27.
Gol ketiga Kelantan telah
dijaringkan oleh Alberdini Diego pada minit ke-88.
Dalam Kumpulan C, Kedah terus
mengungguli persada teratas apabila dua jaringan Marlon Alex James membantu
kemenangan 2-1 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur.
Kemenangan mengutip tiga mata
penuh itu mengukuhkan kedudukan Kedah di tangga teratas kumpulan ini dengan
memungut 15 mata.
Kedah tangkas bangkit menerusi
kelincahan Marlon Alex James yang mencipta jaringan pendahuluan pada minit
ke-50 tetapi Mohd. Kamal Rodiarjat mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-78.
Bagaimanapun, enam minit
sebelum tamat Marlon sekali lagi bertindak cemerlang apabila menanduk masuk gol
kemenangan Kedah.
Di Stadium Perak, Keita Mandjou
mengemudi kemenangan bergaya Perak menewaskan Polis 3-1 sekali gus menduduki
tangga kedua di belakang Kedah selaku pendahulu.
Tuan rumah membuka jaringan
awal menerusi tandukan Keita Mandjou pada minit ke-35 tetapi Polis berjaya
mengikat kedudukan 1-1 sepakan lambung Amir Shahrin Mubin empat minit selepas
itu.
Kesilapan pemain Polis, Gasili
Pengalot menjatuhkan Mandjou di kawasan penalti pelawat membawa padah apabila
Perak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-57 dan disempurnakan oleh
Mandjou.
Perak menambah gol ketiga
menerusi Shahrul Nizam Mustafa minit ke-79.
Di Stadium Sarawak, Romeo
Kambou membantu Sarawak menewaskan Sabah 3-2.
Hairul Zalazmi meletakan tuan
rumah di depan pada minit ke-25 tetapi Sabah menyamakan kedudukan menerusi
Radzi Hussin pada minit 36.
Sarawak sekali lagi di depan
hasil jaringan Mohd. Shahrol Saperi tiga minit sebelum rehat.
Sabah mengikat kedudukan 2-2
pada minit ke-57 menerusi Chow Chee Weng bagaimanapun Sarawak memperoleh gol
ketiga menerusi sepakan penalti Romeo Kambou dua minit selepas itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tXwBetBl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan