ARKIB : 12/11/2006
Oleh: SHARIZA ABDULLAH
ALOR STAR Setelah kehilangan
penjaga gol utamanya, Megat Amir Faisal yang berhijrah ke Selangor musim depan,
Kedah kini menguji tiga pemain tempatan bagi mengisi kekosongan yang
ditinggalkan di posisi itu.
Kehadiran penjaga gawang
Selangor, Jamsari Sabian, Sani Fahmi (TNB Kelantan) dan G. Geevanantham (Sabah)
ke kem Hijau Kuning untuk menjalani sesi pemilihan pemain dipercayai mampu
menjadi pengganti Megat yang sudah sekian lama beraksi dengan Kedah.
Pengurus Persatuan Bola Sepak
Kedah (KFA), Othman Aziz berkata, buat masa sekarang ketiga-tiga pemain
tersebut sedang mengikuti sesi latihan dan pemilihan yang mana tanggungjawab
untuk memilih salah seorang daripada mereka diserahkan kepada jurulatih penjaga
gol Sang Kenari, Ahmad Sobri Ismail.
Menurutya, Ahmad Sobri dengan
bantuan ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan membuat penilaian
terakhir ke atas tiga pemain berkenaan dalam Karnival Bola Sepak Empat Penjuru
Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman selama lima hari bermula 18 November
ini.
Selepas kejohanan tersebut,
KFA akan membuat keputusan sama ada akan menawarkan kontrak atau sebaliknya
kepada mereka, katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri
beliau di rumahnya, di Bandar Darulaman di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu
ialah Mohd. Azraai, penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din dan para pelatih
KFA.
Sementara itu, Othman
memberitahu, KFA juga akan menguji tiga lagi pemain import bagi mengisi satu
lagi kekosongan untuk melengkapkan pasukan tersebut selepas mengesahkan akan
menawarkan kontrak kepada dua pemain dari St. Vincent iaitu pemain import musim
lepas, Bernard Hugging dan bekas penyerang MK Land, Marlon Alex James.
Mereka ialah Maximi Liano
Gomez, 24, dari Argentina yang pernah bermain dengan sebuah kelab di Uruguay;
Gift Kapamba, 27, dari Zambia dan Paul Munster, 24, dari Ireland Utara.
Menurutnya, tiga pemain
berkenaan akan tiba di negeri ini pada minggu depan untuk ujian pemilihan.
Mereka akan diuji dari
pelbagai sudut seperti stamina, daya kepimpinan dan skil bagi memastikan mereka
memiliki kriteria yang ditetapkan, katanya yang juga merupakan Pengerusi
Jawatan Kuasa Belia dan Sukan Negeri.
Menyentuh mengenai Karnival
Bola Sepak Empat Penjuru bagi merebut Piala Presiden KFA, Othman berkata,
perlawanan akan diadakan secara liga satu pusingan melibatkan pasukan tuan
rumah, Pahang, Perlis dan Johor FC.
Katanya, johan akan membawa
pulang piala, wang tunai sebanyak RM5,000 dan piala iringan, naib johan
menerima RM3,000 dan hadiah iringan manakala tempat ketiga pula wang tunai
RM2,000 serta pasukan di tempat keempat wang tunai sebanyak RM1,000.
Sehubungan itu para peminat
dijemput memenuhi Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan kepada pasukan
pilihan masing-masing, katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4sE4EbtPu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan