Sabtu, 30 September 2017

Kenari buru dua lagi piala



ARKIB : 01/07/2007

NIBONG TEBAL – Kejayaan Kedah merangkul Piala FA malam tadi membakar semangat skuad Kenari untuk memberi lebih tumpuan kepada dua lagi kejuaraan, Piala Malaysia dan Liga Super musim ini.

Jurulatih Kedah, Mohd. Azrai Koh Abdullah yang jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya, kini mula mencongak peluang bagi memastikan barisan muda bimbingannya mengekalkan prestasi terbaik bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kalau persembahan malam ini dijadikan ukuran, kenapa Kedah tidak boleh merangkul dua lagi kejuaraan, Piala Malaysia dan Liga Super.

“Kami tidak tunjukkan tahap permainan sebenar tetapi para pemain dapat menyekat kemaraan pihak lawan terutamanya pada saat-saat akhir permainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kemenangan Kedah turut dibantu kecekapan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias yang berjaya menepis tendangan penalti Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain, sekali gus membolehkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Mohd Azrai berkata, dengan hanya tinggal baki dua perlawanan Liga Super, pihaknya yakin dapat meneruskan corak permainan konsisten seperti yang dipamerkan malam ini.

Beliau berkata, persembahan cemerlang para pemain mudanya pada musim ini sememangnya di luar jangkaan memandangan mereka dalam proses pemantapan pasukan di bawah projek pembangunan bola sepak 2008.

“Nampaknya, kami dapat meraih kemenangan setahun lebih awal daripada yang dijangka, kemenangan malam ini bukan mudah kerana kami berdepan dengan pasukan yang sangat berpengalaman,” katanya.

Beliau turut mengakui, barisan pemainnya nampak gugup pada minit-minit awal babak pertama tetapi berjaya mempamerkan persembahan menyakinkan selepas itu.

Kedah bermain tanpa dua tonggak, V. Thirumurugan dan Mohd. Fauzi Shaari yang kini menjalani latihan bersama skuad Piala Asia negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uB7w8U4e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Eliza muncul wira Kedah



ARKIB : 01/07/2007

Oleh ROZILAN SALLEH dan ABDUL MUIN SAPIDIN

 
PENJAGA gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Alias begitu ceria selepas diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA, malam tadi.

NIBONG TEBAL – Penjaga gol Kedah, Mohd. Helmi Eliza Elias muncul wira apabila aksi cemerlangnya menyelamatkan dua sepakan penalti menjadi kunci kejayaan skuad Kenari menamatkan kemarau 11 tahun untuk merangkul Piala FA, semalam.

Ini membolehkan mereka menewaskan Perlis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Batu Kawan itu.

Dengan kejayaan Kedah itu, Perlis terus mengulangi badi kekalahan ketiga pada perlawanan akhir selepas tahun lepas tewas kepada Pahang, juga menerusi penentuan sepakan penalti, selain dikecewakan Negeri Sembilan pada 2003.

Sepakan penalti Kedah disempurnakan Mohd. Bunyamin Omar, Hasmawi Hassan, Shafizan Hashim dan Sabri Abu manakala Perlis menerusi Azi Shahril Azmi dan Kabwe Kamuzati.

Kecemerlangan Mohd. Helmi Eliza yang berjaya membaca dengan tepat tendangan penalti Zacharia Simukonda dan Mohd. Nazaruddin Zain membolehkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Tendangan penalti keempat Kedah yang disempurnakan Sabri, menggamatkan 40,000 penonton yang sebahagian besar penyokong Kedah untuk menyaksikan barisan muda skuad Kenari, pulang bersama Piala FA.

Kedah yang pernah muncul johan pada 1996, menerima Piala FA itu yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Shah.

Perlis bagaimanapun perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang di depan pintu gol Kedah pada masa sebenar dan masa tambahan pada perlawanan yang berlangsung di stadium berkecuali itu.

Barisan muda Kedah pada awal lagi menampakkan tuah seolah-olah berpihak kepada mereka apabila penyerang skuad Olimpik, Mohd. Kyril Muhymeen mencemaskan pintu Perlis sebaik perlawanan memasuki minit kelima tetapi rembatan jarak dekatnya berjaya ditampan penjaga gol, Tay Sin Kiat.

Tanpa dua tonggak, V.Thirumurugan dan Ahmad Fauzi Shaari yang menggalas cabaran skuad kebangsaan pada pusingan akhir Piala Asia mulai 7 Julai ini, Kedah sekali lagi mencemaskan pintu gol Perlis melalui percubaan Hasmawi Hassan pada minit ke-15 tetapi sepakannya tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun seminit kemudian, kesilapan pertahanan Kedah, Mohd. Fazliata Taib mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti hampir membawa padah tetapi gagal dimanfaat Phillimon Chipeta apabila Mohd. Helmi yang menjaga gawang Kedah, beraksi cemerlang dengan membuat tepisan kemas.

Babak pertama ternyata milik Singa Utara yang kerap membuat serangan balas pantas melalui Chipeta dan Simukonda, namun benteng pertahanan Kedah yang dikemudi ketua pasukan, Victor Andrag dan Cornelius Benard, banyak membantu menyelamatkan pintu gol mereka.

Mohd. Nazaruddin yang juga ketua pasukan Perlis hampir mencipta nama sebagai penjaring namun tandukannya ke penjuru kanan gawang Kedah, sekali lagi ditepis Mohd. Helmi.

Anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah sekali lagi mendapat peluang mendahului Perlis sekiranya rembatan Saramsak Kram pada minit ke-42 yang diharap mencecah jaring, hanya melepasi depan pintu gol Perlis.

Mohd. Helmi sekali lagi bertindak cemerlang menepis rembatan Chipeta sembilan minit babak kedua bermula.

Kira-kira tujuh minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, Piala FA hampir pasti menjadi milik Perlis buat pertama kali apabila bola lontaran Azlan Ismail dibiarkan oleh pertahanan Kedah melantun tetapi hanya sekadar terkena tiang gol Kedah.

Dalam aksi masa tambahan, kedua-dua pasukan saling mengasak antara satu sama lain namun masih gagal membuahkan hasil.

Tiang gol sekali lagi menjadi penyelamat Kedah hasil rembatan kencang Mohd. Redzuan dua minit sebelum permainan tamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uB6ZCLx4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah, Perlis jumpa di final

ARKIB : 24/06/2007
 
Oleh: AMRAN MULUP dan METRA SYAHRIL MOHAMED

PENYERANG Perlis, Zacharia Simukonda (kiri) menanduk bola sambil dihalang dua pemain Johor Pasir Gudang dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Kangar, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kedah dan Perlis akan menentukan juara Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua yang penuh aksi dramatik, semalam.

Impian Kedah menjadi realiti selepas 11 tahun menunggu di sebalik keputusan seri 1-1 kepada Selangor di Stadium Shah Alam, semalam.

Kedah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 30 Jun ini menerusi agregat 3-1 selepas menang 2-0 dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu.

Ketika Kedah bergembira ke perlawanan akhir buat kali kedua selepas melakukannya pada 1996, Selangor kecewa dengan kecederaan lutut kiri yang menimpa penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah tiga minit sebelum rehat.

Pastinya, jurulatih kebangsaan Norizan Bakar adalah orang paling kecewa melihat Akmal Rizal diusung keluar dan terus mendapat rawatan di hospital selepas itu.

Gol tunggal jaringan pemain pertahanan kiri Selangor, D. Surendren pada masa kecederaan babak pertama hendak ditamatkan menyuntik semangat pemain Merah Kuning ketika agregat berkedudukan 2-1.

Namun, pada minit ke-78 ayam tambatan Kedah, Marlon Alex James mengikat kedudukan 1-1 selepas dia menolak mudah hantaran Hasmawi Hassan.

Selangor lebih awal melakukan serangan bertali arus ke arah benteng pertahanan Kedah tetapi percubaan gandingan dua penyerang kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali sering tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-20 Mohd Amri Yahyah hampa apabila sepakan kencangnya dari luar kotak penalti melebar keluar di sebelah tiang kiri gol Kedah.

Selangor jelas menguasai pentas saingan ketika Kedah lebih banyak bertahan menangkis asakan bertubi-tubi kali jentera serangan tuan rumah.

Tiga minit sebelum rehat Selangor pincang apabila penyerangnya Akmal Rizal mengalami kecederaan lutut selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah dan terpaksa diusung keluar padang.

Kedah akhirnya memperoleh gol penyamaan jaringan Marlon Alex James pada minit ke-78 menolak mudah selepas menerima hantaran Hasmawi Hassan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, jaringan keramat Zacharia Simukonda pada minit ke-70 berjaya meletakkan Perlis ke final selepas menumpaskan Johor Pasir Gudang (Johor PG) 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Walaupun terikat secara agregat 2-2, Perlis menempah tiket ke perlawanan berdasarkan sistem jaringan di tempat lawan.

Dalam aksi separuh akhir pusingan pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 16 Jun lalu, Johor PG menewaskan Perlis 2-1.

Kejayaan Perlis pada malam ini cukup bermakna walau terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd. Hardi Ahmad dilayangkan kad merah pada minit ke-54 setelah mengasari pemain tengah Johor PG, Mohd. Rizal Roslan.

Johor PG memperoleh peluang seawal minit kedua menerusi Douglas Santos, namun cubaan tersebut sia-sia apabila sepakannya terkena tiang gol Perlis.

Tersentak dengan cubaan itu, Singa Utara mengukuhkan kedudukan dan melancarkan serangan demi serangan bagaimanapun pertahanan lawan dilihat begitu ampuh.

Gol yang dinanti-nantikan Perlis akhirnya hadir pada minit ke-70 menerusi tandukan Simukonda setelah Norazlan gagal menangkap bola hasil sepakan jauh Kabwe Kamuzati

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uAKWgDRB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah belum puas dapat 2 gol



ARKIB : 18/06/2007

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Meskipun memperoleh bekalan dua gol, Kedah tidak akan menggunakan taktik bertahan menjelang pertemuan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Sebaliknya jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengarahkan anak buahnya supaya bermain menyerang seperti biasa, bagi memastikan hasrat melangkah ke perlawanan akhir tercapai.

“Sejak awal musim, Kedah mempraktikkan corak permainan menyerang. Kita tidak akan mengubah taktik tersebut meskipun mempunyai bekalan dua gol.

“Masih ada 90 minit lagi dan kita akan turun habis-habisan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kedah kini berada di landasan terbaik untuk menjulang Piala FA selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Datul Aman malam kelmarin.

Pasukan yang diberi jolokan ‘Sang Kenari’ itu sekali muncul juara piala tersebut 10 tahun lalu.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya malam kelmarin, Mohd. Azraai memberitahu dia berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan mereka.

Bagaimanapun dia mengakui akan berdepan dengan tugas mencabar di Shah Alam walaupun Selangor dikhabarkan bakal kehilangan khidmat pemain-pemain utama yang dijangka bersama skuad kebangsaan.

Oleh itu, katanya, tempoh seminggu sebelum perlawanan pusingan kedua itu akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi meningkatkan moral, kecergasan dan mental pemain.

“Skuad kita juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran semula K. Soley dan Bunyamin Omar yang dijangka pulih selepas mengalami demam menjelang pertemuan itu nanti,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u9UXUbz0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah, Johor PG menang - Separuh akhir pertama Piala FA



 
ARKIB : 17/06/2007
PENJAGA gol Selangor, Megat Faizal (kiri) melompat untuk menyelamatkan bola apabila diasak oleh penyerang Kedah, Marlon Alex James pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala FA di Alor Star, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kedah dan Johor Pasir Gudang (PG) memperoleh bekalan agak selesa selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, semalam.

Kedah mengatasi tentangan sengit Selangor sebelum menang 2-0 manakala Johor PG menewaskan Perlis 2-1.

Jelas kedua-dua pasukan menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam mencipta kemenangan sebelum bertandang ke gelanggang lawan pula untuk separuh akhir kedua pada 23 Jun ini.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selangor mendapati benteng tuan rumah begitu sukar ditembusi walaupun bermain secara menyerang.

Sebaliknya, Kedah memerlukan 13 minit untuk menembusi benteng pasukan pelawat menerusi Marlon Alex James yang menolak mudah bola ke gawang terbuka selepas menyambut hantaran V. Thirumurugan.

Kedah yang beraksi di depan 30,000 penyokong sendiri nyaris menambah jaringan menerusi tandukan Hasmawi Hassan tetapi sedikit tersasar atas palang gol pada minit ke-31.

Selangor dilihat cuba menyaingi pasukan tuan rumah dengan gerakan-gerakan tersusun di babak pertama tetapi kemudiannya dilihat tenggelam dalam asakan pantas Kedah pada babak kedua.

Dengan mempertingkatkan tempo permainan, Kedah jelas tidak menghadapi masalah untuk menambah jaringan.

Selepas beberapa kali mengatur gerakan-gerakan bahaya menerusi Marlon akhirnya gol kedua menyusul juga menerusi sepakan penalti Nelson Sam Martin pada minit ke-66.

Sepakan penalti dihadiahkan pengadil Subki Din selepas Hasmawi dijatuhkan P. Gunalan dalam kotak penalti ketika melakukan larian solo ke arah gol Selangor.

Hasrat Selangor untuk sekurang-kurangnya mencari satu gol sebagai bekalan ke separuh akhir kedua tidak kesampaian apabila sepakan percuma Safiq Rahim pada minit ke-81 berjaya ditepis penjaga gol Kedah, N. Helmi Eliza Alias.

Di Stadium Larkin, Johor Bahru, hujan sebelum perlawanan menjejaskan sedikit rentak permainan kerana padang becak tetapi Johor PG masih mampu mencipta jaringan berharga pada minit ke-17.

Gol berpunca hasil sepakan percuma yang diambil Mohd. Khairul Ismail yang menyebabkan berlaku keadaan kelam kabut di depan gawang Perlis sebelum Mohd. Shukri Ismail mudah menyepak masuk.

Perlis cuba bangkit menerusi dua penyerang mereka, Azhar Ismail dan Philimon Chipieta tetapi nasib tidak menyebelahi mereka untuk memperoleh gol penyamaan.

Tandukan Azhar pada minit ke-35 tersasar atas palang manakala bola sepakan gunting Chipieta pada minit ke-43 terkena tiang.

Babak kedua, Perlis meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi seminit selepas permainan bersambung, Shukri menyelamatkan pasukannya apabila menampan bola keluar sepakan Azmi Azmizi ketika gawang terbuka luas.

Dalam sibuk dan lama mengasak, Perlis malangnya dikejutkan dengan gol kedua Johor PG juga berpunca dari sepakan percuma pada pada minit ke-87.

Ivan Sega Senjo yang mengambil sepakan itu mengumpan tepat ke kepala Mohd. Khairul untuk menanduk masuk ke gawang Perlis.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan selesa buat Johor PG, Perlis tanpa disangka mendapat gol sagu hati pada minit-minit terakhir permainan.

Mohd. Khairul Anuar Ramli yang berlegar-legar di tengah padang tiba-tiba melakukan sepakan jarak jauh yang terus menerjah jaring sekaligus melegakan Perlis yang sudah hampa sebelumnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u9Nc0YPn
© Utusan Melayu (M) Bhd