ARKIB : 26/03/2002
KL MALAY MAIL mencalarkan rekod
Kedah apabila mengikat pendahulu kedudukan bola sepak Liga Perdana Dua itu
dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam.
Ini adalah kali pertama Kedah
terpaksa berkongsi mata selepas memenangi kesemua 10 perlawanan terdahulu. Ia
juga merupakan penutup pusingan pertama yang agak mengecewakan bagi peminat
skuad Hijau Kuning itu. Bagaimanapun, Kedah masih selesa di persada liga dengan
31 mata, 11 mata di depan pencabar terdekatnya.
Di Stadium Petaling Jaya, Kelana
Jaya, Telekom Melaka menewaskan MPPJ Selangor 2-1 untuk mengambil alih tempat
kedua liga daripada Public Bank dengan 20 mata.
MPPJ Selangor mendahului menerusi
Khairun Haled Masrom (minit 17) sebelum Telekom Melaka bangkit menerusi sepakan
penalti Isaac Kufaour (33) dan Gabriel Opoku-Ware (49).
Public Bank pula kelihatan mampu
mencatat kemenangan ke atas SKMK Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota
Bharu apabila mendahului menerusi sepakan percuma Paul Raj (62) sebelum tewas
2-1. Tetapi, tuan rumah bangkit dengan gol penyamaan oleh Mohd. Bukini Dollah
(82) sebelum Anuar Ab. Roni membuat sepakan lambung dari luar kotak penalti
untuk gol kemenangan pada minit ke-88.
Sementara itu, Johor melepaskan
peluang untuk mengutip mata penuh setelah mencatat keputusan seri 2-2 dengan
Brunei walaupun setelah mendahaului dua gol di Stadium Tan Sri Hassan Yunus,
Johor Bahru.
Gol-gol Johor diperoleh menerusi
sepakan percuma penyerang dari Hungary, Roland Nemeth (17) dan Mohd. Farid
Ideris (35) sebelum Brunei bangkit menerusi ketua pasukan, Irwan Mohamad (65)
dan Abang Nor Sillmy Abang Taha (72).
Polis pula menumpaskan JKR Kedah
3-1 dalam perlawanan antara dua pasukan tercorot di Stadium Selayang.
Polis jelas lebih agresif untuk
memperoleh gol menerusi Mohd. Faizal Asmar (10) Rohaizan Md. Ribi (53) dan
Mohd. Izwan Baharuddin (86) manakala JKR Kedah mendapat gol saguhati melalui B.
Ponnambalam (27).
Di Kuala Lumpur, Badrisan Kadir
mencipta hatrik (54, 67 dan 69) untuk menerajui TNB Kelantan menewaskan Tentera
4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Satu lagi gol menerusi Morhim Abdullah
(22).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4byOgxCaT©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan