Isnin, 20 Mac 2017

Kedah perkukuhkan cengkaman

ARKIB : 08/02/2002
SELEPAS berpesta gol pada perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA Selasa lalu, Kedah seharusnya mampu mengukuhkan cengkaman dalam aksi Perdana Dua apabila turun menentang pasukan senegeri, JKR Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.

Tiga mata seharusnya tidak dilepaskan mereka jika prestasi tinggi skuad Kenari dikekalkan untuk terus memimpin liga.

Berbekalkan tenaga penyerang bawah 23 kebangsaan, Akmal Rizal dan pemain berwibawa, Mohd. Rafdi Rashid, Kedah sememangnya harus berada pada kedudukannya sekarang.

Kemenangan besar 6-0 ke atas Polis dalam kempen Piala FA Selasa lalu menjelaskan kehebatan Kedah musim ini.

Begitupun, pasukan tangga kedua, Kuala Lumpur Malay Mail mampu mencabar kedudukan Kedah.

KL Malay Mail melayan kunjungan Tentera di Stadium KLFA, Cheras. Tentera belum mengutip kemenangan tetapi beraksi di stadium yang menjadi gelanggang sendiri kedua-dua pasukan menjanjikan kehebatan.

Kepincangan Polis ketika ini seharusnya diambil kesempatan oleh MPPJ Selangor apabila kedua-dua pasukan bertarung di Stadium Selayang.

MPPJ Selangor yang menduduki tangga ketiga liga, harus berwaspada dengan aksi konsisten Polis dalam kempen ini.

Pertarungan sengit bakal disajikan antara dua pasukan kelab Kelantan, TNB Kelantan dan SKM Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pengurusan skuad Johor yang kini menghuni tangga tercorot liga.

Si Jengking semakin menimbulkan tandatanya setelah kekalahan demi kekalahan ditempah.

Pertarungan dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah malam ini seharusnya memihak kepada pasukan tuan rumah tetapi Johor perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikan maruah yang semakin tercalar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4brh5sZqJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan