Khamis, 23 Mac 2017

Kedah kalah kali kedua



ARKIB : 11/05/2002
MPPJ SELANGOR mencipta kejutan apabila menghadiahkan Kedah kekalahan kedua selepas 18 perlawanan dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Kelana Jaya, semalam.

Gol kemenangan MPPJ diperoleh menerusi jaringan Juan Manuel pada minit ke-72.

Begitupun Kedah masih bertahan sebagai pendahulu tetapi hanya dengan kelebihan tiga mata ke atas pesaing terdekat, Telekom Melaka yang menang 1-0 ke atas Public Bank di Stadium Hang Tuah.

Jaringan tunggal perlawanan itu disumbangkan oleh Gabriel Opuku Ware pada minit ke-72 sekali gus mengulangi kemenangan Telekom Melaka ke atas Public Bank pada saingan suku akhir pertama Piala FA, Selasa lepas.

Telekom kini memiliki 39 mata, enam di hadapan Public Bank yang menghuni tangga ketiga.

MPPJ pula kini semakin rapat dengan Public Bank selepas mengumpul 29 mata.

MPPJ bagaimanapun dikejar rapat oleh Brunei yang turut mengumpul 29 mata selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas TNB Kelantan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu.

Tuan rumah yang menduduki tangga kedua terbawah kelihatan berupaya mencipta kejutan apabila mendahului menerusi jaringan Azrul Amri burhan pada minit keempat.

Tetapi pemain Bulgaria, Guergui Gueorguiev menghasilkan dua gol untuk Brunei pada minit ke-14 dan 55 sebelum Abang Nor Silmmy Abang melenyapkan terus semangat juang tuan rumah menerusi jaringan minit ke-79.

Dalam pertemuan di antara dua pasukan bawah liga, KL Malay Mail bangkit dengan tiga gol pada 10 minit terakhir untuk menumpaskan pasukan tercorot, JKR Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tuan rumah mendahului menerusi Tan Kim Hong pada minit 35 sebelum KL Malay Mail membalas bermula dengan jaringan Mohd. Jazuli Baili minit 79, S. Sangar minit 84 dan sepakan penalti M. Pavalamani minit 88.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4c9kUwnSf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan