Selasa, 21 Mac 2017

Kedah menang kali ke-9



ARKIB : 19/03/2002
MOHD. RAFDI RASHID melebarkan rekod kemenangan bersih Kedah dengan jaringan tunggal perlawanan ketika menumpaskan Johor 1-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Jaringan kemenangan itu berhasil dilakukan oleh Mohd. Rafdi hasil sepakan kencang pada minit ke-74 dari luar kotak penalti.

Jaringan itu sekali gus mengekalkan rentak kemenangan Kedah yang telah memenangi kesemua sembilan perlawanannya setakat ini untuk mengumpul 27 mata dan terus mengukuhkan cengkaman di tangga pertama liga.

Sementara itu, Public Bank mengambil alih tangga kedua daripada Brunei setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Polis di Stadium Selayang.

Public Bank mendahului 2-0 pada separuh masa menerusi Marek Svec pada minit ke-19 dan Marek Najman pada minit ke-44 pada perlawanan yang terpaksa dihentikan kira-kira 15 minit pada babak pertama akibat hujan lebat.

Polis cuba bangkit pada masa kedua dan memperoleh gol pada minit ke-72 menerusi Ammo Pheophilus.

Di Kota Bharu, pasukan di tangga kelapan, SKM Kelantan berjaya memaksa Brunei berkongsi mata di Stadium Sultan Mohd. IV setelah perlawanan tamat dengan keputusan 0-0.

Malah, Brunei nyaris menerima padah apabila penyerang import tuan rumah, Yunainan Dollah menyaksikan sepakannya melewati palang gol pada minit ke-33 walaupun sekadar berdepan dengan penjaga gol.

Di Kelana Jaya, tuan rumah, MPPJ Selangor juga mengutip satu mata apabila seri 1-1 dengan KL Malay Mail, di Stadium MPPJ.

MPPJ Selangor bernasib baik setelah mendapat gol penyamaan menerusi Ahmad Norafandy Mohd. Yatim pada minit ke-76 setelah pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi A. Pugelenphi pada minit ke-45.

Di Stadium Hang Tuah, Telekom Melaka membenam TNB Kelantan 4-1 manakala Tentera yang bermain lewat 45 minit berikutan hujan lebat di Stadium KLFA, Cheras, mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas JKR Kedah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxwPJZAS© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan