ARKIB : 20/10/2002
KEDAH melayakan diri ke separuh
akhir Piala Malaysia selepas menewaskan MPPJ Selangor, 2-1 dalam aksi suku akhir
kedua di Stadium MPPJ, semalam.
Dengan kemenangan itu, Kedah
mampu tersenyum apabila mencipta agregat besar, 7-2 bagi membolehkan mereka
beraksi selesa menjelang pertemuan dengan Selangor di separuh akhir Selasa ini
di Stadium Shah Alam.
Gol Kedah dijaringkan oleh
Zainuddin Arifin pada minit ke-48 dan Matar Diop, minit ke-61, sementara MPPJ
Selangor memperoleh gol pada minit ke-88 menerusi Azrin Shah Zainal.
MPPJ Selangor, yang dalam misi
mustahil untuk menyekat kemaraan Kedah selepas ditewaskan 1-5 dalam aksi suku
akhir pertama yang lalu gagal dalam usaha mengurangkan jurang gol, biarpun
mempunyai tiga peluang terbaik pada separuh masa pertama.
Pemain import MPPJ Selangor, Juan
Manuel Arosgetiu berjaya melepasi pertahanan Kedah Emmanuel Kofi Ampiah dalam
kotak penalti dan sepakan kencang yang dibuat terkena palang gol, biarpun
ketika itu penjaga gol Mazlan Wahid sudah pun tertewas pada minit ke-26.
Peluang MPPJ Selangor diaibkan
sekali lagi, apabila sepakan Norafandy Mohd Yatim dari jarak 20 meter juga
terkena palang gol.
MPPJ Selangor yang turun beraksi
tanpa pemain tengah Azlan Meri meneruskan serangan untuk meraih gol pertama,
tetapi tandukan G. Muthu juga melantun terkena palang dan dibiarkan keluar pada
minit ke-35.
Kedah kemudiannya mengambil
peluang terbaik kelalaian barisan pertahanan MPPJ Selangor apabila Zainuddin
Ariffin menjaringkan gol selepas menerima hantaran dari Matar Diop untuk
menewaskan penjaga gol, Amirul Zain Ismail.
Matar Diop memastikan kemenangan
Kedah 2-0 pada minit ke-61 selepas gawang terbiar kosong.
MPPJ Selangor menerima gol mereka
pada minit ke-88 menerusi Azrin Shah Zainal yang menyambar masuk sepakan
percuma dalam kotak penalti.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cNu6l4wJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan