Selasa, 21 Mac 2017

Kedah bertakhta



ARKIB : 02/04/2002
KEDAH kembali garang dengan kemenangan untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan KL Malay Mail 3-0 di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Telekom Melaka turut mengukuhkan kedudukan di tangga kedua selepas menang 2-0 ke atas MPPJ Selangor di Stadium Hang Tuah.

Isaac Kufor membuka jaringan menerusi sepakan penalti minit ke-64 dan Rosli Hasyim menambah gol kedua minit ke-74.

KL Malay Mail sebelum ini mencalar rekod kemenangan berturut-turut Kedah apabila mengikat skuad Kenari tanpa jaringan di Alor Setar, minggu lalu.

Gol Kedah dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-48, Zainuddin Mohd. Ariffin (62) dan Liew Kit Kong (89).

Ia adalah kemenangan ke-12 Kedah untuk mengumpul 34 mata daripada 13 perlawanan.

Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pasukan tuan rumah, Brunei tumpas 3-1 kepada Johor.

Pasukan pelawat mendahului 3-0 menerusi jaringan Mohd. Faizal Idris minit ke-36 dan 45 serta gol pada babak kedua minit ke-52. Gol tunggal Brunei dijaringkan oleh Abang Norsilmi Taha minit ke-61.

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, TNB Kelantan turut gagal di tempat sendiri apabila tewas 3-2 kepada Tentera.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-0 menerusi jaringan Ahmad Zalghafari Manaf (46) dan Junaidi Daud (59) tetapi Tentera membalas dengan tiga gol jaringan penalti Mohd. Zahid Hashim (63), Andrew Lawadin (71) dan Yuzaidee Rejab (88).

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, JKR Kedah turut tewas kepada pasukan pelawat, Polis 1-0.

Gol Polis dijaringkan oleh Rohaizam Md. Ridi minit ke-12 dalam perlawanan yang menyaksikan pemain import Polis, Pheophilus Ammo dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain JKR Kedah, Mohd. Shahril Dahlan.

Di Stadium Selayang, Public Bank Selangor menewaskan SKM Kelantan 2-0 hasil jaringan Marek Svec (16) dan M. Chandran (77).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c13g9skV© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan