Selasa, 21 Mac 2017

Ewe Hock, Tsuen Seng teruskan cabaran



ARKIB : 30/03/2002
PEMAIN veteran, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng meneruskan cabaran negara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea setelah menewaskan lawan masing-masing di suku akhir semalam.

Tsuen Seng, naib juara Terbuka Indonesia mara ke separuh akhir setelah menewaskan pemain berpengalaman Korea Selatan, Park Tae Sang 6-8, 7-2, 7-4, 6-8, 7-0.

Pemain perseorangan keempat negara semasa pusingan kelayakan Piala Thomas di Melbourne itu akan bertemu Shon Seoung Mo, juga dari Korea Selatan hari ini bagi perebutan tempat ke akhir.

Sementara itu, Ewe Hock, juara Terbuka Malaysia membuktikan usia tidak menjejaskan prestasi apabila menewaskan pemain pilihan pertama, Xia Xuanze dari China.

Pemain yang hanya berjaya menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak dua kali - 1996 dan 2001 itu hanya bermain empat set sebelum menang 1-7, 7-5, 7-1, 7-1.

Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann bagaimanapun gagal menyertai dua rakannya yang lain setelah tumpas kepada Seoung Mo.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu tumpas 7-3, 4-7, 3-7, 2-7 semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4byXvtGWk© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan