Sabtu, 25 Mac 2017

Kedah dalam keadaan tenang



ARKIB : 19/10/2002
Tanpa niat mendabik dada, salah satu slot di peringkat separuh akhir Piala Malaysia hampir pasti menjadi milik pasukan Hijau Kuning yang bertandang ke Stadium Petaling Jaya menentang MPPJ Selangor malam ini.

Berbekalkan kemenangan besar 5-1 pada perlawanan pusingan pertama Selasa lalu, Kedah tampak selesa untuk terus mara kerana bukannya satu kerja mudah untuk barisan pemain MPPJ berdepan dengan anak buah jurulatih dari Denmark, Jorgen E Larsen.

Hakikatnya, pasukan Kedah pada musim 2002 ini sebenarnya sudah cukup bersedia untuk mengharung persaingan bersama pasukan dari Liga Perdana Satu, berbanding pasukan Liga Perdana Dua.

Kejayaan Kedah musim ini banyak terletak pada adunan antara pemain - muka baru dan lama serta berpengalaman, yang mampu beraksi dengan baik di setiap sudut padang.

Ia bukan sekadar memiliki rangkaian serangan berbahaya, tetapi barisan pemain tengah dan pertahanannya mampu berfungsi mengawal perlawanan dan menahan serangan, pada ketika yang sama berupaya menghasilkan gol penting perlawanan.

Melihat kelibat penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli sudah cukup menggerunkan pertahanan lawan, tetapi kehadiran pemain-pemain lain seperti Mohd. Rafdi Rashid, Irwan Fadzli Idrus dan Zainuddin Ariffin sentiasa membayangi kehebatan Akmal sendiri.

Tugas MPPJ tampak berat, apatah lagi ia perlu menghasilkan kemenangan selesa dengan kelebihan enam gol untuk menafikan peluang Hijau Kuning.

Malah bermain di tempat sendiri tidak memberikan sebarang kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang pastinya akan berdepan dengan pasukan yang mempunyai rekod pertahanan dan bilangan bolos gol paling minima.

Pintu gol Kedah yang dikawal baik oleh pemain berpengalaman, Mazlan Wahid dan barisan pertahanan kental yang dikemudikan oleh A Victor, Manzoor Azwira Wahid dan Matar Diop lebih menyukarkan MPPJ memburu gol dan kemenangan yang diperlukan.

Pastinya, pertemuan malam ini hanya melengkapkan jadual perlawanan suku akhir kerana MPPJ perlu melakukan suatu keajaiban untuknya mengatasi Hijau Kuning.

Kedah juga sudah lama tenggelam dalam arena bola sepak tempatan dan kini mungkin sudah tiba masanya juara Liga Perdana Dua itu mengembalikan kegemilangannya seperti mana kejayaan pada tahun 1986 hingga awal 90an.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cNpTwVs8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan