Selasa, 21 Mac 2017

Kedah terlalu perkasa dengan enam mata di depan



ARKIB : 25/02/2002
BAGAIKAN tiada mana-mana pasukan yang mampu mengekang pendahulu, Kedah dalam kempen bola sepak Liga Perdana Dua ketika ini.

Selepas lima perlawanan, skuad Kenari mengutip 15 mata maksimum dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Malah, jaringan gol yang diperoleh Kedah begitu besar dengan purata tiga gol dalam setiap perlawanan setakat ini. Mereka juga hanya memboloskan satu gol.

Lima kemenangan berturut-turut meletakkan Kedah jauh di singgah sana dengan jurang enam mata dengan pasukan tangga kedua, Public Bank Selangor.

Kedudukan itu nyata menjelaskan kesungguhan Kedah untuk merampas kejuaraan Perdana Dua musim ini sekali gus kembali ke kancah kumpulan elit, Perdana Satu musim depan.

Begitupun, kejayaan mereka pada kempen ini seharusnya tidak melekakan.

Perlawanan masih banyak yang perlu diharungi dan tidak mustahil Kedah yang dilihat amat bertenaga, mampu disekat oleh mana-mana pasukan.

Cabaran MPPJ Selangor malam ini mampu meragut kegembiraan Kedah jika skuad itu tidak berhati-hati atau mengambil mudah pasukan lawan.

MPPJ Selangor kini di tangga keenam dengan tujuh mata selepas dua kemenangan dan satu seri dan berdasarkan keputusan itu, mereka mampu sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Alor Setar.

Dalam pada itu, Public Bank harus merebut peluang mengutip tiga mata untuk sekurang-kurangnya mengekori Kedah apabila melayan kunjungan Telekom Melaka di Selayang.

TNB Kelantan pula berdepan tugas sukar untuk mencari mata apabila menentang Brunei di Bandar Seri Begawan.

Tentera juga memerlukan kemenangan untuk terus merapatkan kedudukan dengan empat pasukan teratas tetapi mereka harus disekat oleh SKM Kelantan di Kota Bharu.

KL Malay Mail yang tergelincir ke tangga ketujuh selepas menghuni tangga kedua beberapa minggu, harus menebus kembali maruah mereka apabila menentang JKR Kedah di Cheras.

Apakah Johor sekali lagi menempah kekalahan dalam kempen mencabar ini, apabila bertemu Polis di Johor Bahru?

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bwvoWMBd© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan