Sabtu, 11 Mac 2017

Kedah tetap yakin ke suku akhir

ARKIB : 05/09/2000
SEKALIPUN kini dianggap sebagai pasukan belasahan, Kedah masih mengharap tuah untuk mencipta kemenangan pertama apabila bertandang ke Stadium Larkin untuk bertemu Johor malam ini.

Laluan skuad Hijau Kuning kali ini dilihat begitu memeritkan selepas tewas dua kali berturut-turut kepada Perak 0-2 sebelum dibelasah oleh Negeri Sembilan 0-4, Sabtu lalu.

Ketiadaan beberapa tonggak utama yang dibelenggu kecederaan dan masalah kad kuning jelas menggugat rentak permainan Kedah yang terpaksa membariskan pemain muda yang kurang berpengalaman.

Paling terasa apabila benteng terakhir Kedah, S. Ragesh yang bercuti kerana melangsungkan perkahwinan, membuatkan gawang Kedah begitu rapuh untuk menjadi santapan musuh apabila digantikan dengan penjaga gol kedua, Azuan Othman.

Pengurus pasukan, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil ketika dihubungi di Alor Setar mengakui kelemahan itu sebagai faktor kegagalan Kedah untuk mencipta kemenangan.

Namun, harapan untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D sekali gus melayakkan diri ke pusingan suku akhir masih belum tertutup.

''Kedah perlu menang kepada semua perlawanan pada pusingan kedua ini untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya,'' jelasnya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Kedah terperosok di tempat tercorot dalam Kumpulan D dengan memungut satu mata, lapan mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan.

Sambil menyifatkan pertemuan dengan Johor malam ini sebagai getir, Ahmad Basri berkata, Johor mempunyai kelebihan untuk menang apabila bermain di gelanggang sendiri.

Walaupun tampak sukar buat skuad Kenari, beberapa pemain yang tidak beraksi ketika bertemu Negeri Sembilan tempoh hari, dijangka dapat diturunkan pada malam ini.

''Roslan Abdul Rahim, Adrien Jurad dan Khamal Idris Ali dijangka dapat diturunkan semula selepas mereka sembuh daripada kecederaan,'' katanya.

Apa yang membimbangkan, katanya, tahap ketahanan penjaga gol kedua, Azuan kelihatan goyah sehingga membenarkan gawangnya dirobek sebanyak empat kali ketika bertemu Negeri Sembilan.

''Kita berharap Azuan akan dapat menumpukan perhatiannya di atas padang ketika menahan asakan penyerang Johor nanti,'' ujarnya.

Azuan, 21, yang tidak pernah diturunkan dalam mana-mana perlawanan sebelum ini kecuali dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan lalu, pastinya memikul tugas berat apabila berdepan dengan skuad Jengking malam ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b0ESw0ur © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan