Isnin, 20 Mac 2017

Rafdi Rashid ceriakan Kedah

ARKIB : 28/01/2002
PENYERANG, Mohd. Rafdi Rashid menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan untuk membantu Kedah menewaskan Public BANK Selangor 2-0 dalam saingan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Gol pertama Rafdi, yang dipinjam oleh Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, dihasilkan pada minit ke-82 sebelum menggandakannya pada minit ke-88.

Juara Piala Malaysia 1999, Brunei turut bermula cemerlang selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tentera di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Bagaimanapun, gol kemenangan Brunei dijaringkan sendiri oleh pemain Tentera, Md. Fadzil Amon dua minit sebelum tamat permainan.

Sebelum itu, Brunei membuka jaringan menerusi bintang import lamanya, Rafael Patron Akakpo pada minit ke-67 tetapi Tentera pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Mohd. Zahid Hashim.

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, TNB Kelantan berkongsi satu mata dengan Polis selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Tidak banyak percubaan dilakukan kedua-dua pasukan, tetapi Polis melepaskan peluang keemasan untuk mencatat kemenangan pada minit ke-42.

Ketua pasukan, Jarren Untam mensia-siakan sepakan penalti yang diselamatkan oleh penjaga gol TNB Kelantan, Wan Kamarulzaman Mohamad.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, JKR Kedah tewas 2-1 kepada MPPJ Selangor.

Pasukan tuan rumah ketinggalan 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Azril Shah Zainal minit ke-19 dan Kamarulzaman Yub Abd. Majid minit ke-60.

Mohd. Farouk Ismail merapatkan jurang pada minit ke-87 untuk JKR Kedah tetapi tidak mampu untuk mencari gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Hang Tuah, Telekom Melaka hanya mampu mengutip satu mata selepas diikat oleh SKMK Kelantan 1-1.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal SKMK menerusi Mohamad Abdullah pada minit ke-10 sebelum G. Saravanan menyamakan kedudukan minit ke-33.

Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur Malay Mail mencatat kemenangan 2-0 ke atas Johor pada perlawanan yang terhenti kira-kira 20 minit akibat lampu limpah stadium terpadam.

Mohd. Ishak Kunju menjaringkan gol pembukaan KL Malay Mail pada minit ke-40 dan S. Sankar menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 untuk KL Malay Mail mengutip tiga mata.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4br4pbvhQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan