Khamis, 23 Mac 2017

Kedah hampiri mahkota



ARKIB : 04/05/2002
KEDAH semakin rapat dengan gelaran juara bola sepak Perdana Dua apabila menumbangkan saingan Polis dengan kemenangan 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Tuan rumah mendahului 2-0 pada babak pertama perlawanan apabila Liew Kit Kong memulakan aksi kemenangan menerusi gol seawal minit kelapan sebelum Rafdi Rashid menyumbat gol kedua pada minit ke-40. Satu lagi gol diperoleh menerusi Manzoor Azwira.

Gol saguhati Polis disumbangkan oleh Azlan Shah Yahya pada minit ke-73.

Ia adalah kemenangan ke-13 Kedah selepas 17 perlawanan yang kini mengumpul 42 mata, enam mata di depan Telekom Melaka yang menang 5-0 ke atas KL Malay Mail sekalipun beraksi dengan 10 pemain di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Azlan Ahmad mencipta hatrik (minit 24, 44 dan 67) manakala pemain import, Isaac Kuffour menambah dua gol (26 dan 45). Telekom bagaimanapun kehilangan Gabriel Ware yang menerima kad kuning kedua pada minit 37.

Sementara itu, Johor menyengat TNB Kelantan dengan kemenangan 6-0 di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu untuk mencipta kemenangan terbesarnya musim ini.

Daniel Watkins dari Australia mencipta jaringan hatrik (29, 58 dan penalti minit 61). Tiga lagi gol disumbangkan oleh Mohd. Farid Ideris (26), Suhaimi Jamil (38) dan L. Ragesh (73).

Public Bank pula menang tipis 5-4 ke atas Tentera di Stadium Selayang, yang menyaksikan Paul Raj menjaringkan hatrik (56, 63 dan 82) untuk menerajui pasukan bank itu.

Dua lagi gol Public Bank disumbang oleh Zulkipli Chek Din (8) dan Zakaria Ismail (47) sementara Tentera membalas melalui Hasli Rosdi Mat Yusof (5), Zahid Hashim (28, 90) dan Ya'akob Aris (46)

Di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, tuan rumah Brunei membelasah pasukan tercorot, JKR Kedah 5-2 sementara MPPJ Selangor menyingkirkan cabaran SKMK Kelantan dengan kemenangan 2-0 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9UFXXgv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan