Sabtu, 25 Mac 2017

Pintu Kedah belum tertutup



ARKIB : 24/10/2002

Oleh LUQMAN HAKIM
TEWAS kepada Selangor di gelanggang lawan tidak bermakna pintu ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia sudah tertutup buat Kedah, malah ia dianggap sebagai mempunyai rahmat tersembunyi.

Menyedari kelemahan dan kekurangan semasa kecundang 3-1 di Stadium Shah Alam pada perlawanan pusingan pertama, pasukan Hijau Kuning berikrar untuk bangkit semula dan membuktikan bahawa kekalahan tersebut tidak menjejaskan, biar sekelumit moral pemain.

Pastinya, perlawanan pusingan kedua di Stadium Darulaman Sabtu ini bakal menjadi misi membalas dendam Kedah dan menjadi kenangan pahit kepada gergasi dari Lembah Klang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Shukri Hashim berkata, beliau sentiasa yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk bangkit dan mencatat kemenangan yang diperlukan.

Sambil mengakui pemain Selangor bermain dengan baik, beliau menjelaskan, kekalahan tersebut tidak menjejaskan keupayaan sebenar Kedah untuk beraksi cemerlang.

``Bagi saya kekalahan di Stadium Shah Alam tidak menjatuhkan moral para pemain kerana ia ada hikmahnya iaitu untuk menyedari segala kelemahan dan membaikinya.

``Kekalahan itu membuktikan tidak selamanya kita akan berada di atas atau sentiasa menang dan itu memberikan pengajaran berguna,'' jelasnya ketika dihubungi.

Menyedari terdapatnya kelemahan dan kekurangan dalam pasukan pada perlawanan tersebut, Kedah segera menganalisis dan mengkaji setiap kelemahan dan membaiki.

Beliau tidak menafikan saingan sengit yang semakin memuncak banyak memberi pengalaman berguna kepada para pemainnya yang kebanyakannya tidak pernah merasai saingan peringkat tertinggi seperti Piala Malaysia.

Apatah lagi pasukan ini bagaikan tidak ada seteru yang sepadan dengan keupayaannya semasa bertarung dalam Liga Perdana Dua.

``Dalam pasukan Kedah, hanya penjaga gol Mazlan Wahid yang pernah merasai saingan bertanding di Piala Malaysia ketika dia bersama pasukan Sarawak.

``Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada para pemain untuk beraksi dengan baik dan keadaan tersebut ditambah dengan kegagalan kami menurunkan kesebelasan terkuat akibat kecederaan beberapa orang pemain,'' ujarnya.

Bagi perlawanan pusingan kedua Sabtu ini, Kedah tentunya ingin membuktikan bahawa mereka bukan sekadar jagoan Liga Perdana Dua yang boleh dianggap remeh.

Malah Shukri membayangkan bahawa pasukan itu akan berusaha mendapatkan gol awal sebagai pembakar semangat dan memastikan tekanan terus berada pada pasukan Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cO4iF8Xl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan