ARKIB : 03/04/2002
KEDAH terus kebal selepas
mengharungi 12 perlawanan liga bola sepak Perdana Dua untuk kekal unggul di
tempat teratas sejak kempen bermula hujung Januari lepas.
Ketika ini, Kedah mengumpul 34
mata. Mereka hanya melepaskan dua mata ketika seri tanpa jaringan dengan KL
Malay Mail dalam perlawanan terakhir pusingan pertama liga di Alor Setar pada
25 Mac lepas. Setakat ini, hanya perlawanan itu yang dibazirkan oleh Kedah.
Mereka bangkit daripada aksi
hambar itu untuk menumpaskan KL Malay Mail 3-0 di Cheras apabila tirai Perdana
Dua dibuka buat kali kedua musim ini.
Sementara itu, Telekom Melaka
terus mengukuhkan kedudukannya di tangga kedua, 11 mata di belakang Kedah
selepas merakam kemenangan ketujuh dengan menumpaskan MPPJ Selangor 2-0 di
Stadium Hang Tuah.
Ia adalah kemenangan yang amat
diperlukan oleh Telekom ketika saingan terdekatnya, Public Bank turut mengutip
mata penuh apabila menyingkirkan cabaran SKMK Kelantan dengan jumlah jaringan
yang sama.
Public Bank kini mengumpul 21
mata, ketinggalan hanya empat mata kepada Telekom.
Yang jelas, kedudukan itu sudah
cukup baik bagi peserta baru Perdana Dua seperti Public Bank. Malah, kedudukan
mereka ketika ini jauh lebih selesa berbanding bekas saingannya yang juga juara
dalam pertandingan Piala FAM, MPPJ Selangor.
Dalam Piala FAM tahun lepas,
Public Bank hanya menduduki tempat ketiga di belakang MPPJ dan Syarikat Air
Johor yang menarik diri daripada bersaing dalam Perdana Dua.
MPPJ ketika ini hanya mengumpul
14 mata untuk menduduki tangga keempat tercorot daripada 12 pasukan yang bersaing.
SKMK Kelantan yang menduduki
tempat keempat pada Piala FAM tahun lepas juga berada satu anak tangga lebih
baik daripada MPPJ tetapi hanya berdasarkan kelebihan jaringan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4c4DfRcdu©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan