ARKIB : 10/10/2000
PEMAIN JKR Kedah meraikan
kejayaan menjuarai Piala FAM selepas menewaskan Polis 6-5 menerusi penentuan
tendangan penalti di KLFA, Cheras, kelmarin.
KEMENANGAN ke atas Polis bukan
sekadar menjulang JKR Kedah selaku juara Piala FAM tetapi kejayaan seumpama itu
ternyata memberikan pengalaman berharga bagi persiapan menghadapi Liga Perdana
Dua tahun depan.
Jurulatih Mosthakeen Omar,
memberitahu, beliau berkeyakinan pemain bimbingannya bersedia untuk menghadapi liga
tersebut selepas menempuh saingan getir kejohanan Piala FAM termasuk dalam
perlawanan akhir.
''JKR Kedah sememangnya
bersedia beraksi dalam Liga Perdana Dua tetapi saya perlu berbincang dengan
pihak pengurusan terlebih dahulu untuk mengatur persiapan,'' kata beliau ketika
dihubungi semalam.
Dalam perlawanan akhir Piala
FAM kelmarin, JKR Kedah muncul juara selepas menewaskan Polis 6-5 menerusi
sepakan penalti di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Pasukan berkenaan diperkuatkan
tiga pemain negeri iaitu Mat Zahir Wahab, Zulfatah Dzulkarnaen dan Mohd.
Shukrin Saad yang turut menjadi pembimbing kepada barisan pemain muda.
Bagaimanapun, kata Mosthakeen,
JKR Kedah perlu mengadakan latihan lebih rapi kerana persaingan dalam Liga
Perdana Dua lebih mencabar kerana turut disertai kelab handalan dan pasukan
negeri.
''Persaingan dalam Piala FAM
dan Liga Perdana Dua pasti berbeza tetapi JKR Kedah sudah bersedia untuk
menghadapi pasukan yang bertanding pada tahun depan.
''Saya percaya, selepas berakhir
pertandingan ini (Piala FAM), pemain sudah mempunyai keyakinan untuk berdepan
tugas berat dalam kejohanan lebih besar seperti Liga Perdana Dua,'' tambah
beliau.
Mosthakeen jelaskan, JKR Kedah
mempunyai barisan muda yang boleh diharapkan selepas dibimbing oleh pemain
lebih berpengalaman.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b4KSwh6i
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan