Isnin, 20 Mac 2017

Kedah terus kuasai Perdana Dua

ARKIB : 09/02/2002
KEDAH seperti dijangka melebarkan penguasaan dalam bola sepak Liga Perdana Dua apabila membenam pasukan senegeri, JKR Kedah 4-0 pada perlawanan di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam.

Penyerang bawah 23 kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli menjaringkan dua gol minit ke-80 dan 81 (penalti) manakala dua gol lagi dihasilkan Mohd. Rafdi Rashid (68) dan Che Hishamuddin Hassan (88).

Dalam pada itu, Kuala Lumpur Malay Mail terus mengekori Kedah di tangga kedua apabila turut merakam kemenangan 2-0 ke atas Tentera di Stadium KLFA, Cheras.

Dua gol KL Malay Mail dijaringkan oleh S. Sangar (9) dan U. Suresh (29).

Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, TNB Kelantan melonjak ke tangga ketiga selepas mengatasi SKM Kelantan 2-0 menerusi jaringan Badrisan Kadir (17) dan Ahmad Tahrin Yusof (85).

SKMK bermain sepuluh orang pada tiga minit terakhir permainan sebenar selepas Mohd. Azli Mahmud dibuang padang kerana menerima dua kad kuning.

Di Stadium Selayang, Polis mencatat kemenangan pertama untuk menempatkan diri di tempat keempat liga selepas menewaskan MPPJ Selangor 1-0 hasil jaringan Mohd. Faizal Asmar (35).

Johor terus ditimpa musibah apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut, kali ini kepada Telekom Melaka 2-0 di Stadium Hang Tuah.

Kedua-dua gol Telekom Melaka dijaringkan oleh Azlan Ahmad (38) dan pemain import, Isaac Kuffour dan (53).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bryzd5lZ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan