ARKIB : 02/02/2002
KEDAH memperkukuhkan kedudukan
dalam saingan bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan Telekom Melaka 2-0
pada perlawanan di Stadium Darulaman, semalam.
Kemenangan kedua tuan rumah itu
selepas mengalahkan Public BANK Selangor 2-0 pada Ahad lalu, diperoleh menerusi
jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli seawal minit pertama dan Chik Hishamuddin
Hassan, minit ke-85.
Di Stadium Tan Sri Hassan
Yunus, Larkin, tuan rumah yang juga juara Piala Malaysia 1985 dan 1991, Johor
mengalami kekalahan kedua selepas tumbang 0-1 kepada Public BANK Selangor.
Gol tunggal Public Bank
Selangor dijaringkan oleh Paul Raj pada minit ke-55 untuk menewaskan penjaga
gol tuan rumah, Yusuff Ishak.
Gerakan bermula daripada satu
serangan di sebelah kanan kubu tuan rumah lalu hasil hantaran silang oleh G.
Athanraj dan ditanduk masuk oleh Paul Raj.
Johor yang dihadiahkan sepakan
penalti pada minit ke-78, gagal menyamakan kedudukan apabila tendangan yang
dilakukan oleh Khairul Ismail berjaya diselamatkan oleh penjaga gol pelawat,
Mark Demumsagar.
Penalti itu diperoleh setelah
pemain Johor, Nizam Abu Bakar dijatuhkan oleh pertahanan pelawat, Nazri Mohd.
Noor.
Di Stadium Sultan Mohamad IV,
JKR Kedah gagal dalam memburu kemenangan pertamanya selepas hanya sekadar seri
1-1 dengan tuan rumah, SKMK Kelantan.
JKR Kedah yang tumpas 2-1
kepada MJJP Selangor lalu, dikejutkan dengan gol tuan rumah hasil sepakan
penalti oleh Tengku marzuki Tuan Mat seawal minit kelima, tetapi memperoleh gol
penyamaan, juga menerusi sepakan penalti oleh Khamal Idris Ali, minit ke-86.
Bagaimanapun, perlawanan di
Stadium KLFA, Cheras antara KL Malay Mail dan Brunei seri 1-1 pada aksi yang
terjejas akibat lampu limpah terpadam, 20 minit sebelum tamat perlawanan.
Tuan rumah mendahului 1-0
menerusi Mohd. Shahrizam Akhuan pada minit ke-65, sebelum Fadlin Gelawat
menyamakan kedudukan untuk Brunei, seminit sebelum tamat permainan.
Dua lagi perlawanan menyaksikan
Polis dan Tentera seri 1-1 di Stadium Selayang, manakala MPPJ Selangor dan TNB
Kelantan turut terikat 1-1 di Stadium MPPJ.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4br8sxbWN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan