Jumaat, 31 Mac 2017

Kedah melonjak ke persada liga



ARKIB : 04/06/2003

KEDAH merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Satu daripad Perak selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Darulaman, semalam.

Walaupun memiliki 30 mata yang sama dengan Perak, kelebihan perbezaan jaringan membolehkan Kedah menguasai persada liga buat kali pertama musim ini.

Ternyata kehadiran pemain import dari Australia, James William memberi nafas baru kepada jentera serangan Kedah apabila pemain itu menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir permainan.

Perak pula gagal mengekalkan kedudukan di persada liga apabila sekadar seri 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching.

Pasukan bimbingan Tony Netto bagaimanapun bermula agak meyakinkan apabila lebih dulu membuka jaringan menerusi V. Saravanan pada minit ke-7 lagi.

Tetapi Sarawak yang terkandas di separuh akhir Piala FA bangkit untuk menyamakan kedudukan dua minit sebelum permainan tamat.

Robert Eshun menyempurnakan sendiri penalti pada minit ke-88 selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan Perak ketika berlaku keadaan kelam kabut di depan gol.

Di Stadium Utama, Kangar, tuan rumah Perlis bangkit daripada ketinggalan untuk turut mencatat kepusan seri 1-1 dengan Pahang.

Pahang lebih dulu membuka jaringan menerusi Azizul Kamaluddin pada minit ke-25 sebelum Khairun Haled Masron menyamakan kedudukan pada minit ke-82.

Di Stadium Hang Tuah, tuan rumah Melaka gagal mempertahankan kelebihan satu gol apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan untuk satu lagi keputusan seri, semalam.

Melaka berjaya mendahului seawal minit ke-10 menerusi Mohd. Fauzi Kassim tetapi kelebihan itu dinafikan oleh jaringan D. Surendran pada minit ke-78.

Di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan berjaya mengotakan janji untuk memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Sabah 1-0.

Fatrurazi Rozi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65.

Sementara itu di Stadium Pasir Gudang, Johor FC membenam Telekom Melaka 4-1 untuk melonjak ke tangga 10 liga.

Gol pertama Johor FC dihadiahkan pemain lawan, Nazrulerwan Makmor yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-7.

Tetapi Telekom Melaka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Issac Kuffour pada minit ke-31 sebelum tuan rumah berpesta jaringan menerusi Jon Anggelucci (m-50), Hairy Azly Mahamad (m-52 dan 68).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cxwFnOQs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Mac 2017

Pintu Kedah belum tertutup



ARKIB : 24/10/2002

Oleh LUQMAN HAKIM
TEWAS kepada Selangor di gelanggang lawan tidak bermakna pintu ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia sudah tertutup buat Kedah, malah ia dianggap sebagai mempunyai rahmat tersembunyi.

Menyedari kelemahan dan kekurangan semasa kecundang 3-1 di Stadium Shah Alam pada perlawanan pusingan pertama, pasukan Hijau Kuning berikrar untuk bangkit semula dan membuktikan bahawa kekalahan tersebut tidak menjejaskan, biar sekelumit moral pemain.

Pastinya, perlawanan pusingan kedua di Stadium Darulaman Sabtu ini bakal menjadi misi membalas dendam Kedah dan menjadi kenangan pahit kepada gergasi dari Lembah Klang itu.

Pengurus pasukan, Datuk Shukri Hashim berkata, beliau sentiasa yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk bangkit dan mencatat kemenangan yang diperlukan.

Sambil mengakui pemain Selangor bermain dengan baik, beliau menjelaskan, kekalahan tersebut tidak menjejaskan keupayaan sebenar Kedah untuk beraksi cemerlang.

``Bagi saya kekalahan di Stadium Shah Alam tidak menjatuhkan moral para pemain kerana ia ada hikmahnya iaitu untuk menyedari segala kelemahan dan membaikinya.

``Kekalahan itu membuktikan tidak selamanya kita akan berada di atas atau sentiasa menang dan itu memberikan pengajaran berguna,'' jelasnya ketika dihubungi.

Menyedari terdapatnya kelemahan dan kekurangan dalam pasukan pada perlawanan tersebut, Kedah segera menganalisis dan mengkaji setiap kelemahan dan membaiki.

Beliau tidak menafikan saingan sengit yang semakin memuncak banyak memberi pengalaman berguna kepada para pemainnya yang kebanyakannya tidak pernah merasai saingan peringkat tertinggi seperti Piala Malaysia.

Apatah lagi pasukan ini bagaikan tidak ada seteru yang sepadan dengan keupayaannya semasa bertarung dalam Liga Perdana Dua.

``Dalam pasukan Kedah, hanya penjaga gol Mazlan Wahid yang pernah merasai saingan bertanding di Piala Malaysia ketika dia bersama pasukan Sarawak.

``Keadaan ini sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada para pemain untuk beraksi dengan baik dan keadaan tersebut ditambah dengan kegagalan kami menurunkan kesebelasan terkuat akibat kecederaan beberapa orang pemain,'' ujarnya.

Bagi perlawanan pusingan kedua Sabtu ini, Kedah tentunya ingin membuktikan bahawa mereka bukan sekadar jagoan Liga Perdana Dua yang boleh dianggap remeh.

Malah Shukri membayangkan bahawa pasukan itu akan berusaha mendapatkan gol awal sebagai pembakar semangat dan memastikan tekanan terus berada pada pasukan Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cO4iF8Xl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kedah mudah atasi MPPJ



 ARKIB : 20/10/2002
KEDAH melayakan diri ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan MPPJ Selangor, 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium MPPJ, semalam.

Dengan kemenangan itu, Kedah mampu tersenyum apabila mencipta agregat besar, 7-2 bagi membolehkan mereka beraksi selesa menjelang pertemuan dengan Selangor di separuh akhir Selasa ini di Stadium Shah Alam.

Gol Kedah dijaringkan oleh Zainuddin Arifin pada minit ke-48 dan Matar Diop, minit ke-61, sementara MPPJ Selangor memperoleh gol pada minit ke-88 menerusi Azrin Shah Zainal.

MPPJ Selangor, yang dalam misi mustahil untuk menyekat kemaraan Kedah selepas ditewaskan 1-5 dalam aksi suku akhir pertama yang lalu gagal dalam usaha mengurangkan jurang gol, biarpun mempunyai tiga peluang terbaik pada separuh masa pertama.

Pemain import MPPJ Selangor, Juan Manuel Arosgetiu berjaya melepasi pertahanan Kedah Emmanuel Kofi Ampiah dalam kotak penalti dan sepakan kencang yang dibuat terkena palang gol, biarpun ketika itu penjaga gol Mazlan Wahid sudah pun tertewas pada minit ke-26.

Peluang MPPJ Selangor diaibkan sekali lagi, apabila sepakan Norafandy Mohd Yatim dari jarak 20 meter juga terkena palang gol.

MPPJ Selangor yang turun beraksi tanpa pemain tengah Azlan Meri meneruskan serangan untuk meraih gol pertama, tetapi tandukan G. Muthu juga melantun terkena palang dan dibiarkan keluar pada minit ke-35.

Kedah kemudiannya mengambil peluang terbaik kelalaian barisan pertahanan MPPJ Selangor apabila Zainuddin Ariffin menjaringkan gol selepas menerima hantaran dari Matar Diop untuk menewaskan penjaga gol, Amirul Zain Ismail.

Matar Diop memastikan kemenangan Kedah 2-0 pada minit ke-61 selepas gawang terbiar kosong.

MPPJ Selangor menerima gol mereka pada minit ke-88 menerusi Azrin Shah Zainal yang menyambar masuk sepakan percuma dalam kotak penalti.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cNu6l4wJ
© Utusan Melayu (M) Bhd