Selasa, 30 Mei 2017

Skuad Kenari lebarkan cengkaman



ARKIB : 26/05/2005

Oleh DALIZA ARIFFIN
PEMAIN Kedah, Khairil Muhymeen (dua dari kanan) cuba melepaskan diri daripada kepungan dua pemain MK Land pada saingan Kumpulan A Liga Perdana di Stadium Darulaman, Alor Star, malam tadi. Kedah menang 4-0.


ALOR STAR - Kedah merapati pendahulu Kumpulan A Liga Perdana, Selangor apabila berjaya memintas pasukan MK Land dengan kemenangan bergaya 4-0 dalam hujan lebat, di Stadium Darulaman, di sini malam tadi.

Kemenangan itu sekaligus mengekalkan naib juara Piala Malaysia 2004 itu sebagai pasukan tunggal dalam Liga Perdana sebagai pasukan yang belum kalah setakat ini.

Stadium yang dibanjiri lebih 30,000 penyokong tuan rumah gamat apabila penyerang muda Mohd. Khairil Muhimin yang menerima umpanan Shahriman Che Omar menggegarkan gol pelawat pada minit ke-13 untuk membolehkan skuad Kenari mendahului 1-0.

Tiga minit selepas itu, Hasmawi Hassan membayangkan penguasaan Kedah apabila menyempurnakan umpanan pemain dari Nigeria, Yahaya Yakubu.

Ketinggalan dengan dua gol memaksa MK Land berusaha keras untuk bangkit dengan membuat asakan melalui gerakan cantik Mohd. Nor Derus dan Marlon James tetapi pertahanan tuan rumah yang diketuai oleh A. Victor dan ketangkasan penjaga gol Megat Amir Faisal menjadi penghalang utama.

Pada minit ke 36, Mohd. Nor Derus dijatuhkan oleh Mohd. Khairil di dalam kotak penalti tetapi tuah tidak memihak kepada MK Land apabila sepakan penalti yang dilakukan James berjaya ditangkap kemas oleh Megat Amir.

Mendahului 2-0 Kedah memulakan babak kedua dengan lebih yakin, menyaksikan mereka tidak memberi ruang kepada pasukan pelawat untuk mengasak.

Kedah semakin selesa pada minit ke-71 apabila percubaan Fauzi Shaari yang membuat sepakan lambung dari jarak jauh melepasi jangkauan penjaga gol MK Land, S. Shankar.

K. Soley menambah derita MK Land apabila bola rembatannya dari kiri pintu gol terkena tiang dan melantun ke dalam jaring.

Kedah sebelum ini menewaskan MK Land 3-2 di Stadium Darulaman dan seri 0-0 di gelanggang lawan.

Dengan kemenangan ini Kedah mengutip 33 mata, empat mata di belakang Selangor sementara MK Land turun ke tangga ketiga dengan 30 mata selepas 15 perlawanan.

Di Kuching, Johor FC menewaskan tuan rumah Sarawak 2-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Sarawak.

Pasukan pelawat mendahului menerusi jaringan penyerang import, Gregory Lee Owen pada minit ke-30 dan melebarkan jurang gol pada minit ke-35 melalui Hairy Azly Muhamad.

Sarawak merapatkan jurang pada minit ke-84 hasil jaringan bekas penyerang kebangsaan Suharmin Yusuf.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iYXOcheS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan